Malaysia Dateline

‘Zahid lupa BN kalah di peringkat nasional’

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Abd Samad menyelar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan Zahid lupa kerajaan BN tumbang walaupun BN menang dalam PRU-14 di DUN Chini dan negeri Pahang.

“Zahid lupa PRU-14, BN menang bukan sahaja di Chini, tetapi di peringkat Negeri Pahang? Tapi tetap kalah di peringkat Nasional!” ujarnya dalam ciapan di Twitter malam ini.

Beliau mengulas reaksi Zahid kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Chini semalam yang mendakwa BN masih relevan dan diterima oleh rakyat selepas enam kali menang dalam PRK.

Mengulas lanjut, Khalid menganggap Zahid agak celaru memandangkan rekod pengundi menolak BN di Chini lebih tinggi berbanding PRU-14.

“Kenyataan Zahid ini agak celaru. Lebih lebih lagi apabila dilihat undi menolak calon BN adalah lebih berbanding undi menolak BN pada PRU-14,” kata Khalid lagi.