Zahid mesti beri kerakyatan segera kepada pelajar cemerlang Roisah Abdullah

Zahid mesti beri kerakyatan segera kepada pelajar cemerlang Roisah Abdullah

Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi supaya segera memberikan satus kerakyatan kepada pelajar bijak Roisah Abdullah.

Anwar berkata, hari ini beliau mendengar mengenai rintihan seorang pelajar berusia 20 tahun dari Klang yang yang tidak punya kerakyatan.

“Roisah dilahirkan di sebuah klinik di Klang, Selangor dan kemudian diambil oleh seseorang yang baik sebagai anak angkat.

“Sebelum meninggal dunia, ibu angkatnya telah berkali-kali berusaha mendapatkan kad pengenalan biru untuk Roisah tetapi ditolak.

“Roisah seorang pelajar yang bijak dan pelajar cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun ini. Dia juga pelajar terbaik pada tahun ini di SMK Sg Kapar Indah, Klang,” kata Anwar dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata Anwar, tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjadikan Roisah tanpa kerakyatan dan tanpa masa depan.

Justeru kata Anwar, Datuk Seri Zahid Hamidi mesti menyelesaikan perkara ini segera untuk membolehkan Roisah memasuki mana-mana universiti dan meneruskan pencapaian akademiknya yang baik itu.

“Datuk Seri Zahid mesti menerima tanggungjawab untuk situasi ini. Beliau mesti menjadikan kes ini sebagai prioriti beliau, bukannya menghabiskan masa berkempen untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” kata bekas TPM itu.

Anwar juga turut menggesa Zahid supaya melihat kepada ramai lagi rakyat Malaysia yang masih belum memperolehi kerakyatan walaupun mereka layak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

7.8
OVERALL SCORE
4 user votes x 9.8