Malaysia Dateline

Zahid mohon doa rawatannya di Jerman dipermudahkan

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan telah bertolak ke Jerman pada semalam.

Perjalanannya ke Munich, Jerman difahamkan bagi membolehkan beliau mendapat rawatan ekoran sakit belakang serta leher yang dialaminya.

Beliau juga memohon rakyat Malaysia mendoakannya.

“Terima kasih kepada semua yang turut menghantar saya dan isteri di KLIA semalam.

“Doakan semoga urusan rawatan saya di Jerman akan dipermudahkan.

“Doakan juga saya selamat menjalani rawatan dan pulang ke tanah air,” ciapnya di Twitter hari ini

Pada 11 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Ahmad Zahid Hamidi supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

Ahmad Zahid sebelum ini menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan, permohonan tersebut kerana anak guamnya menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Jerman.