Malaysia Dateline

Zahid nafi ada perbualan dengan Anwar selepas PAU2020

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan adanya perbualan antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana rakaman audio yang tersebar.

Dalam kenyataanya, Zahid juga menegaskan tidak ada sebarang perbualan beliau dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU) baru-baru ini.

“Saya amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononya merakam perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Anwar Ibrahim selepas PAU2020 baru-baru ini,” kata beliau.

Zahid percaya ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan Umno,” kata beliau.

Justeru sebagai presiden Zahid tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan PAU,

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman audio yang didakwa merupakan perbualan telefon membabitkan Anwar dan Ahmad Zahid.

Perbualan itu antara lain menyentuh tentang ucapan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang mahu memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Kedua-duanya juga bercakap tentang status Menteri Umno yang sehingga hari ini masih tiada yang berani menarik diri dari kerajaan PN.