Malaysia Dateline

Zahid pula tiba ke Istana selepas Tun M cadang Mageran, PH tolak

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan Istana Negara hari ini bagi meneruskan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk hari ketiga.

Zahid menghadap selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Mageran manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam kenyataan bersama Pakatan Harapan menolak Mageran.

Zahid tiba di pintu pagar Istana Negara jam 9.52 pagi dengan menaiki kereta Vellfire berwarna silver.

Pagi ini ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Harapan, Anwar, Muhamad Sabu dan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama menolak cadangan Mahathir agar Mageran dikenakan ke atas negara ini.

Cadangan Mageran disampaikan Mahathir kepada Yang di-Pertuan Agong selepas menghadap baginda jam 2.30 petang selama. Perkara itu diumumkan Mahathir dalam sidang media secara online yang diadakan selepas itu.

Namun dalam sidang media itu, Mahathir yakin kerajaan Perikatan Nasional akan menolaknya sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri.

Dalam kenyataan pagi ini, ketiga-tiga pemimpin PH bertegas bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

Tegas Pakatan Harapan, penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen.

Sebelum ini, Anwar memberitahu pemimpin PKR agar menerima kerjasama dengan parti-parti lain bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk.

Ini kerana, negara perlu diselamatkan segera selepas kerajaan yang ada gagal.