Zahid sedia disiasat kes penipuan pekerja Nepal

Zahid sedia disiasat kes penipuan pekerja Nepal

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan pembabitannya dalam syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dilaporkan melakukan penipuan pengambilan pekerja dari Nepal, serta bersedia disiasat.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata syarikat tersebut bukan miliknya atau anggota keluarganya dan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat berkenaan.

“Sila kemukakan bukti jika saya terlibat atau ada salah menggunakan kuasa atau mana-mana anggota keluarga saya yang terlibat…. saya sedia berdepan (siasatan),” katanya ketika ditemui media di lobi bangunan Parlimen hari ini lapor Bernama.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang mendakwa Bestinet dimiliki oleh adik iparnya iaitu Amin Abdul Nor yang terlibat dalam sindiket penipuan pekerja dari Nepal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak mempunyai anggota keluarga bernama Amin Abdul Nor seperti yang didakwa.

“Orang Bangladesh la Amin tu, saya tidak mempunyai adik ipar bernama Amin. Saya difahamkan syarikat itu telah memulakan perniagaan sebelum saya masuk (menyertai) Kementerian Dalam Negeri lagi,” katanya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS