Zahid setuju debat atau hanya acah-acah tunjuk berani, soal penulis

Zahid setuju debat atau hanya acah-acah tunjuk berani, soal penulis

Penulis buku politik, Shahbudin Husin berkata, setelah dikecam banyak pihak kerana dianggap penakut dan tidak sedia membuka ruang kepada semangat keterbukaan setelah Umno ditimpa kekalahan, Zahid Hamidi akhirnya dilaporkan bersetuju menyertai debat Presiden Umno bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin pada 29 Jun ini.

Kata beliau, debat calon Presiden Umno itu pada mulanya disarankan oleh Tengku Razaleigh atau Ku Li dan kemudian disambut positif oleh Khairy Jamaluddin atau KJ.

Ia dijadual diadakan di Astro Awani dan akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara, katanya.

“Bagaimanapun, Zahid Hamidi memberi syarat hanya akan berdebat dari Bagan Datuk kerana menurutnya, pada malam berkenaan beliau perlu berada bersama pada perwakilannya bagi tujuan pemilihan yang akan diadakan keesokannya harinya iaitu 30 Jun.

“Jika bukan untuk memecah-belahkan Umno kepada dua atau tiga, maka saya sanggup untuk bersiaran dari Bagan Datuk kerana saya tidak akan mengetepikan jemaah saya, kata beliau.

“Melihat alasan dan syarat Zahid Hamidi ini, timbul persoalan adakah beliau benar-benar sanggup berdebat atau sekadar acah-acah nak tunjuk berani saja?

“Jika benar-benar sanggup, mengapa ada syarat tertentu?” tulis beliau dalam Facebooknya semalam.

Tambah beliau, logikkah debat diadakan dengan dua peserta, Ku Li dan KJ berada di Astro Awani di Kuala Lumpur, manakala Zahid Hamidi di Bagan Datuk?

Apakah Zahid Hamidi ingat beliau masih Timbalan Perdana Menteri dengan memberi syarat sedemikian yang sudah tentu memerlukan pihak Astro Awani menghantar peralatan penyiaran ke Bagan Datuk? soal beliau.

“Bagaimana jika pihak Astro Awani tidak sedia memenuhi permintaan Zahid Hamidi itu kerana ia tentu saja melibatkan kos dan sebagainya?

“Adakah dengan itu Zahid Hamidi akan menyalahkan Astro Awani kerana kegagalannya menyertai debat itu?

“Lagi pun, jika Ku Li selaku Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan KJ sebagai Timbalan Ketua UMNO Rembau yang mana mereka perlu juga berada di bahagian masing-masing pada 30 Jun, tetapi masih sanggup berada di Astro Awani untuk menjayakan siaran langsung debat tersebut, mengapa Zahid Hamidi tidak boleh melakukannya?

“Mungkin jarak antara KL dengan Rembau agak dekat dan tiada masalah bagi KJ untuk kembali ke bahagiannya selepas debat tersebut, tetapi antara KL dengan Bagan Datuk dan KL dengan Gua Musang, mana lebih jauh?

“Jika Ku Li boleh menghadirinya, mengapa Zahid Hamidi tidak boleh? soal beliau.

Katanya lagi, apakah hanya Zahid Hamidi saja yang perlu bersama jemaah di bahagiannya pada malam sebelum pemilihan dan tidak bagi Ku Li dan KJ?

“Apakah juga Zahid Hamidi hanya mampu berdebat sekiranya hanya ada ribuan ahli-ahli UMNO bersorak dan menyokong di belakangnya?

“Cehhh….dah Umno hilang kuasa pun mengada-ngada lagi. Kalau setuju, cakap sajalah setuju tanpa perlu meletakkan syarat tertentu,” kata Shahbudin.

CATEGORIES