Malaysia Dateline

Zahid tak layak kekal Presiden jika rakaman audio tulen – Ku Li

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak layak untuk kekal di kedudukannya sebagai Presiden Umno jika benar beliau adalah individu dalam rakaman perbualan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan yang dikeluarkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah itu menambahkan lagi gesaan dari pimpinan parti agar Ahmad Zahid berundur dari jawatan tersebut.

Memetik Sinar Harian, Hamzah berkata banyak pihak terutama ahli-ahli Umno meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik.

“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepada dia untuk memimpin dengan lebih baik. Jangan dia ambil mudah.

“Mengenai rakan audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara.

“Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, satu rakaman perbualan tersebar yang didakwa membabitkan Ahmad Zahid dengan seteru parti itu iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi rakaman berdurasi kira-kira empat minit itu, kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

Audio itu membicarakan tentang ucapan Ahmad Zahid yang menolak kerjasama dengan DAP, PKR dan PPBM.

Suara seakan Ahmad Zahid itu pula mengatakan ucapannya hanyalah bersifat taktikal.

Kedua-duanya juga bercakap tentang status Menteri Umno yang sehingga hari ini masih tiada yang berani menarik diri dari kerajaan PN.

Bagaimanapun, kedua-dua ketua parti itu menafikan dakwaan tersebut dan sudah mengarahkan pegawai mereka membuat laporan polis.