Malaysia Dateline

Zahid ‘tidak nampak cahaya’, kem Tok Mat minum petang dengan Pas

Ketika Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas atau Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, lain pula halnya dengan kem Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pemuda parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilihat minum petang semalam bersama dua pemimpin kanan Pas.

Gambar sesi minum petang itu dikongsikan Asyraf Wajdi di Facebook yang turut menampakkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

“Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhuwwah,” kata Asyraf Wajdi.

Malam tadi, Zahid dalam rancangan bual bicara dalam talian menerusi saluran NR Channel TV berkata, Umno-BN akan bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Pas.

“Oleh sebab MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan (dalam PRN Melaka) sebagaimana siri PRN sebelum ini.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji BN secara solo dan insya-Allah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” katanya.