Malaysia Dateline

Zahidi kata sumbernya Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan bahawa sumber yang memaklumkan kepadanya tentang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, adalah Timbalan Menteri Kewangan I.

Beliau berkata, Datuk Abdul Rahim Bakri merupakan ahli Parlimen Kudat Sabah yang telah menerima maklumat berkenaan dari pensyarahnya.

“Kita mendapat maklumat bahawa isu tersebut apabila kita rujuk wakil rakyat kawasan Kudat iaitu di mana wakil rakyatny adalah seorang timbalan Menteri Kewangan.

“(Beliau) memaklumkan kepada saya bahawa Veveonah seorang Youtubers dan pada hari tersebut tidak ada peperiksaan.

“Maklumat yang diperolehi wakil rakyat kawasan itu pula dari seorang pensyarahnya yang merupakan seorang Professor dan doktor, pensyarah kanan. Jadi dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Zahidi mendakwa Veveonah tidak mengambil apa-apa peperiksaan dan merupakan seorang Youtubers yang hanya mahu menaikkan naman dan rating tontonan saluran media sosialnya itu.

Beliau bagaimanapun memohon maaf selepas mendakwa menerima maklumat yang salah tentang pelajar berkenaan.

Susulan itu, ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada semalam meminta agar Zahidi mendedahkan dari mana beliau menerima maklumat berkenaan.

Tegas Lim, sekiranya Zahidi berkata benar, maka pegawai yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang tidak tepat itu harus dikenal pasti dan dihukum dengan sewajarnya.