Malaysia Dateline

Zahidi patut bertanggungjawab, bukan salahkan orang lain

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Datuk Zahidi Zainul Abidin memahami bahawa beliau sebenarnya yang perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kenyataan yang dibuatnya di Parlimen tanpa menyalahkan pihak lain.

Ia susulan kenyataan terbaharu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM) itu, yang cuba menuding jari kepada Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri diatas kesilapannya memberi maklumat yang salah dalam sidang Dewan Negara minggu lalu.

“Dalam mempertahankan kenyataannya ini, beliau cuba untuk menyalahkan Ahli Parlimen Kudat yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1, Abdul Rahim Bakri.

“Adakah Zahidi memahami yang beliau sendiri perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kenyataan yang dibuatnya di Parlimen, tanpa mengira siapa yang memberitahunya mengenai sesuatu perkara itu, sama ada betul atau salah,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Zahidi memberitahu bahawa sumber yang memaklumkan kepadanya tentang Veveonah Mosibin yang dikatakan menipu itu adalah Timbalan Menteri Kewangan I.

Beliau berkata, Abdul Rahim menyampaikan perkara berkenaan setelah menerima maklumat dari pensyarahnya bahawa pelajar itu tidak menduduki apa-apa peperiksaan.

Dalam pada itu, Lim mempertikaikan kemampuan ahli Parlimen Padang Besar itu untuk memahami penderitaan bukan sahaja dihadapi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, bahkan di seluruh Malaysia.

Beliau turut menyifatkan Zahidi gagal menyenaraikan kawasan di Sabah dan negeri-negeri lain yang akan menerima manfaat daripada program kerajaan untuk merapatkan jurang digital menjelang akhir tahun ini.

“Mampukah Zahidi memahami masalah jurang digital dan penderitaan yang dihadapi bukan sahaja oleh Vevenoah daripada Pitas, tetapi juga rakyat Malaysia di Sabah, Sarawak, dan seluruh Malaysia di mana ketika ini internet menjadi salah satu keperluan penting untuk kehidupan harian,” katanya lagi.