Malaysia Dateline

Zahidi Zainul disahkan positif Covid-19

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi tadi.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Zahidi dimaklumkan telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.

Ahli Parlimen Padang Besar itu juga telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 25 Disember 2020 (Jumaat), beliau diberitahu telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya ialah negatif.

Zahidi merupakan anggota Kabinet yang keempat disahkan positif Covid-19 dalam tempoh seminggu, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.