Bekas peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson tampil mendedahkan bukti berupa laporan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
Laporan itu didedahkan selepas seorang wanita dikenali sebagai Nur Hanisah dipercayai merupakan bekas rakan kongsi perniagaannya mendakwa Zahnita tidak pernah dikasari oleh suaminya.
Berdasarkan laporan pemeriksaan yang dijalankan pada 7 Mei tahun lalu sekitar jam 10.30 malam itu, Zahnita disyaki dipukul oleh suami di kediaman mereka selepas berlaku pertengkaran mulut antara pasangan berkenaan.
Wanita berusia 40 tahun itu telah ditumbuk di bahagian muka dan atas badan selain didapati mengalami bengkak pada bahagian kiri sekitar mata serta lebam pada sekitar kiri telinga akibat daripada kejadian tersebut.
“Pesakit disyaki terlibat dalam kejadian keganasan rumah tangga yang berlaku pada pukul 8.20 pagi bertarikh 7 Mei 2024. Kejadian berlaku di rumah di mana pesakit disyaki dipukul oleh suami selepas berlaku pertengkaran mulut.
“Selain itu, pesakit tiada merungut sakit dada dan sesak nafas. Pesakit sedar sepenuhnya dan tidak pengsan serta muntah. Tiada kesakitan pada perut pesakit,” tulis dalam laporan pemeriksaan kesihatan tersebut.
Zahnita didapati mengalami bengkak di bahagian bawah kiri kelopak mata dan kesan lebam yang berukuran (2×1) sentimeter selain kesan lebam pada kiri bawah telinga berukuran (3×1) sentimeter.
Dalam perkongsian yang sama, Zahnita turut berkongsi kronologi kejadian di mana wanita itu keluar dari rumah kelamin mereka pada 26 November tahun sama selepas mengumpul dana dan kekuatan ekoran insiden tersebut.
Bekas model itu bagaimanapun hanya membawa anak bongsu berikutan cahaya mata perempuannya yang lain berada di sekolah dan Zahnita juga tidak lagi diberi akses untuk masuk ke kediaman sejak kejadian tersebut.
“Pada 2 Disember 2024, Z (suami Zahnita, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor) ditahan. Keesokkannya, Z direman oleh mahkamah sehingga 5 Disember. Pada 3 Disember 2024, saya memfailkan perceraian dan hak jagaan serta hak jagaan sementara untuk keempat-empat anak.
“Lalu pada 4 Disember 2024, polis berkata Z positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan padanya setelah lapan hari tinggal berasingan dengan saya. Mahkamah memberikan saya perintah hak penjagaan asing untuk keempat-empat anak pada 6 Disember.
“Kemudian pada 11 Disember 2024, saya pula diuji negatif untuk dadah selepas ujian air kencing dan polis mengiringi saya untuk mengambil anak perempuan dari rumah kelamin kami,” jelasnya dalam kronologi itu.
Mahkamah pada 28 Februari lalu akhirnya memberikan perintah jagaan interparte kepada Zahnita untuk ketiga-tiga anak di mana cahaya mata sulungnya tidak tertakluk kepada perintah ekoran sudah berumur 18 tahun ke atas.
Sementara itu, Zahnita juga mengalu-alukan pihak media untuk hadir ke Mahkamah Syariah Kuantan pada 18 April ini di mana wanita itu bersedia untuk menjawab segala persoalan mengenai dirinya.
Difahamkan pada tarikh tersebut sekitar jam 9 pagi, tiga kes akan dibicarakan secara serentak iaitu tuntutan hak jagaan semua anak (hadhanah), injunksi menghalang gangguan dan penyalahgunaan anak di media sosial serta kes cerai dan pelantikan hakam keluarga untuk kedua-dua pihak.
Baca juga: Ada pekerja gig tak mahu carum KWSP sebab nanti susah nak keluarkan