Malaysia Dateline

Zaid-Sultan Selangor :Tindakan wajar pimpinan PH ambil sikap ‘membisu’, kata penganalisis politik

Penganalisis politik berpandangan ‘sikap membisu’ pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis membabitkan Sultan Selangor dengan ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim adalah tindakan yang wajar.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, jika pemimpin PH mengeluarkan kenyataan atau menyertai demontrasi dilakukan Umno dan NGO pro kerajaan pada Ahad lalu, memungkinkan mereka terheret sama dalam konflik institusi raja.

“Kalau ada penyokong atau pimpinan PH sertai sekaligus menunjukkan Datuk Zaid bersalah.

“Pemimpin Pakatan Harapan pula membisu kerana sekiranya mereka bersuara pasti mereka juga akan terheret dalam konflik institusi raja kesannya lebih besar terhadap parti sebab itu ramai tidak mahu terlibat.

“Lagipun ia bukan pandangan parti dalam PH kerana ia dilihat lebih kepada pandangan indvidu.

“Sebab itu tiada pemimpin dalam Pakatan Harapan atau menteri besar yang buat kenyataan, sama ada mereka sokong atau tidak kenyataan dibuat Datuk Zaid dalam twitternya atau menyatakan pendirian mereka terhadap titah sultan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zaid semalam, dalam tulisan di blognya berpandangan beliau sendirian apabila didakwa menghina Sultan Selangor sebaliknya ahli politik dalam Pakatan Harapan yang mengenalinya mengambil sikap mendiamkan diri terhadap serangan bertubi-tubi pemimpin Umno.

Pemimpin Umno-BN dan NGO pro kerajaan pula mempertikaikan ketidakhadiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dalam demontrasi ‘Daulat Tuanku’ yang dihadiri 5,000 peserta pada Ahad, bersama-sama untuk menyatakan pendirian mereka terhadap institusi diraja dan mengecam Zaid.

Kata Sivamurugan lagi, dasar parti Umno adalah memperjuangkan agama, bangsa dan raja Melayu, sudah pasti Umno di barisan hadapan akan memainkan peranan dalam isu-isu yang terkait dengannya.

“Umno memperjuangkan isu agama, bangsa dan Raja Melayu. Umno sering mengambil tempat terhadap isu-isu begini yang dianggap sebagai ‘kedaulatan’ yang perlu dipelihara.

“Ini memberikan isyarat kepada pihak tertentu atau parti pembangkang apabila mereka tidak terbabit dalam demontrasi diadakan itu, pastinya akan dikatakan pembangkang tidak mahu mempertahankan institusi beraja,” ujarnya.

Mengenai desakan Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dibebaskan semalam selepas direman dua hari oleh polis masih mendesak polis mengambil bertindak terhadap Zaid.

Sivamurugan berkata, polis pastinya memerlukan masa untuk bertindak terhadap aduan yang dibuat terhadap Zaid yang membabitkan institusi raja.

Tambah beliau lagi, polis wajar membetulkan konflik yang berlaku ini agar tidak berpanjangan.

“Polis memahami tindakan sekumpulan pemimpin Umno dan NGO yang amat menghormati institusi raja-raja Melayu, orang Melayu dan agama Islam.

“Apabila konflik ini sudah menjangkaui isu politik yang mengaitkan Sultan sudah tentu pihak berwajib seperti polis perlu lebih berhati-hati untuk bertindak.

“Jika pihak polis tergesa-gesa seolah-olah menyebelahi pihak tertentu.

“Saya pasti polis sudah ada siasatannya tetapi tunggu masa untuk bertindak.

“Saya juga percaya polis akan menjalankan tugas mereka dengan baik kerana laporan polis juga sudah dibuat terhadap Zaid sewajarnya polis mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini daripada terus berlarutan,” ujarnya.

Kata beliau lagi,jika isu ini tidak diselesaikan segera oleh pihak polis ia akan berlarutan dan mengheret pihak lain untuk bertindak di luar undang-undang atau memberikan pandangan yang menjejaskan keharmonian rakyat dan institusi raja di negara ini menerusi laman-laman sosial dan demontrasi.