Zaid umum sertai DAP, mahu hilangkan ketakutan Melayu

Zaid umum sertai DAP, mahu hilangkan ketakutan Melayu

Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP dalam satu sidang media hari ini dengan azam untuk menghilangkan ketakutan Melayu kepada DAP yang ditanamkan Umno dan Pas.

Zaid Ibrahim menyerahkan borang keahlian DAP kepada pemangku pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai

Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP dalam satu sidang media hari ini dengan azam untuk menghilangkan ketakutan Melayu kepada DAP yang ditanamkan Umno dan Pas.

Pengumuman itu dibuat di rumahnya dengan kehadiran ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir pemangku pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai yang juga ahli Parlimen Cheras, ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong, bekas menteri Tan Sanusi Junid dan bekas ketua pengarang NST yang kini ahli MPT Bersatu, Datuk Kadir Jasin.

Zaid mengisi borang menyertai DAP di depan Lim Kit Siang dan diserahkan kepada Tan Kok Wai dalam majlis itu.

Sebelum ini, Zaid adalah ahli Umno dan pernah menjadi ahli parlimen Kota Bharu dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau melepas jawatan itu kerana tidak setuju dengan penggunaan ISA dan menyertai PKR namun meninggalkan parti itu ekoran krisis pemilihannya.

Beliau menubuhkan parti Kita selepas itu dan hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP.

Ketika memberikan ucapan, Zaid berkata, beliau kekal dengan prinsip perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia.

“Hanya pemimpin yang berwibawa dan amanah mampu menyelamatkan negara.

“Saya lihat DAP sebuah parti politik yang efektif dalam memperjuangkan kepentingan negara sebagaimana ditunjukkan di Pulau Pinang,” kata Zaid.

Katanya, beliau menyertai DAP ketika ramai Melayu tak boleh dengar nama DAP, termasuk pemimpin Umno dan Pas.

“Ini kerana, mereka sedar, kerajaan mereka akan tumbang jika orang Melayu tidak lagi takut kepada DAP.

“Saya mahu memberikan sumbangan agar orang Melayu tidak lagi takut kepada DAP,” tegas Zaid.

Zaid dalam ucapannya juga berkata, beliau tidak bercadang untuk memegang apa-apa jawatan.

Sementara itu, Lim Kit Siang dalam ucapannya berkata, semua bertanya kepada beliau berapa lama Zaid boleh bertahan dalam DAP.

Kit Siang berharap Zaid bukan mahu menjadi primadona dalam DAP tetapi menjadi ‘team player’ dalam parti itu.

Tun Dr Mahathir yang berucap kemudiannya juga berharap Zaid akan kekal lama dalam DAP.

Beliau bersetuju dengan tindakan Zaid melompat parti kerana bagi bekas perdana menteri selama 22 tahun itu, yang perlu dipertahankan adalah prinsip perjuangan bukan parti yang disertai.

“Jika parti sudah jadi kleptokarasi, bukan lagi Umno yang asal, takkan kita nak kekal lagi. Saya pun tinggalkan Umno,” kata Mahathir ketika ditanya wartawan.

 

TAGS