Said Zahari  icon media yang harus dikenang

Said Zahari icon media yang harus dikenang

Said Zahari (duduk) ketika dikunjungi rakan-rakannya.

Di tengah remang senja, dalam cuaca panas di perkuburan USJ-Subang Jaya, tiga minggu lalu, bersemadilah jasad Allahyarham Said Zahari, pejuang kebebasan media, tidak jauh dari perkuburan isterinya, Salamah Abd Wahab yang meninggal dunia beberapa tahun sebelum itu.

Kehadiran dan perjuangan Allahyarham memberi makna penting kepada sejarah menuntut kebebasan media sejak lebih setengah abad yang lalu.

Bahkan memberi sumbangan terhadap perjuangan menegakkan keadilan kemanusiaan.

Allahyarham tidak menjadi wartawan bisu menghadapi tirani yang berlaku. Justeru perjuangan seperti ini sangat wajar dilanjutkan terus menerus dari generasi ke generasi.

Jika tidak, maka keadilan dan kebebasan akan terus mendekam masyarakat, di mana membenarkkan kata-kata Napolepon Bonapart:
“The world suffer al lot, not because of bad people, but because the silence of good people.”

Teman seperjuangan Allahyarham Said, penyair Usman Awang ketika hayatnya pernah memberitahu dalam perbincangan dengan Allahhyarham Said di rumah Usman di Petaling Jaya, sambil minum teh O dan goreng pisang:

“Apapun yang dilalui dan dihadapi, yang paling penting ialah ketabahan dan keberanian menghadapi tiap detik rasa yang menggores. Lebih dari itu ialah kesedaran terhadap kehidupan, bahawa hidup ini tidak untuk menangis dan merintih, tetapi menghadapinya secara berani dan yakin.”

Demikianlah kehidupan dan perjuangan Allahyarham Said menyebabkan ia menjadi ikon kepada anak muda, generasi baru,kerana perjuangannya yang panjang, memimpin mogok Utusan pada 1961 bersama kawan-kawannya yang lain, kerana menentang penguasaan Umno terhadap akhbar tersebut.

Allahyarham kemudian memimpin Parti Rakyat Singapura hanya beberapa ketika, kemudian merengkuk dalam penjara selama 17 tahun.

Ramai anak muda yang menziarahinya dan solat jenazah di Masjid Al-Falah dan ada yang menghantar hingga ke tanah perkuburan tidak jauh dari situ.

Kumpulan anak muda ini menjadikan Allahyarham sebagai ikon mereka, meskipun jarang usia lebih setengah abad. Namun perjuanggan Allahyarham merentasi masa dan tempat.

Seorang di antaranya, Sofian Ahmad, sangat mengkagumi perjuangan Allahyarham, menjadikannya ikon.

“Dari Allahyaram, saya belajar akan erti keberanian, ketabahan dan mulianya perjuangan,” kata Sofian.

Temannya yang lain, Hanapiah Md Zain. pula berkata, “Sukar mencari tokoh yang boleh menjadi teladan perjuangan seperti Allahyarham.”

Tokoh ini, katanya, mengajar kita bahawa ‘perjuangan itu tidak pernah sia-sia.”

Pernah anak muda dari Kumpulan The BangsART mendendangkan lagu-lagu dari puisi Said Zahari di majlis ulang tahunnya yang ke-87 dulu:

Tetapi demikianlah kebangkitan
Tiba-tiba telingaku mendengar ombak suara
Jerita semakin keras semakin nyaring
Ombak suara rakyat jelata…
Bukan kiamat yang akan tiba
Itulah api perjuangan kian menyala
Menjilat segala kejahatan penindasan
Jeritan yang memberiku sejuta tenaga
Semangat baru di jiwaku
Dari suara Rakyat tercinta

Demikian antara bait-bait puisi Allahyarham yang didendangkan oleh anak muda.

Di majlis meraikan ulang tahunnya yang ke-87 pada 18 Mei lalu, di kediamannya di Puncak Alam, Selangor ramai keluarga, sahabat handai, rakan setahanan pelbagai generasi dari Singapura dan Malaysia.

Meskipun kelihatan agak uzur dan pergerakannya terbatas dengan hanya berkerusi roda, namun wajahnya selalu mengukir senyuman.

Syed Husin dalam ucapannya pada majlis ulang tahun Allahyarham itu memberitahu, Allahyarham selalu senyum dan ketawa menyebabkan gayanya seolah-olah tidak pernah serius.

Anak muda menjadikan Allahyarham sebagai ikon kerana Allahyarham menyemarakkan semangat perjuangan untuk menegakkan kebebasan media, membela keadilan dan menentang penindasan serta kezaliman dalam semua bentuk.

Perjuangannya ini berterusan, hingga akhir hayatnya. Inilah watak yang menjadikan Allahyarham bukan saja sebagai ikon anak muda, tetapi juga dkagumi dan dihormati oleh pelbagai pihak yang sedar dan menghargai perjuangan kerana mereka mengerti bahawa perjungan itu tidak sia-sia.

Aktivis muda Adam Adli bersama teman-temannya yang sama-sama solat jenazah, memberitahu bahawa Allahyarham mencetuskan inspirasi kepadanya untuk tetap terus berjuang menegakkan kebebasan dan keadilan.

Kata Adam Adli, “Pengajaran yang kami dapat dari Allahyarham ialah bahawa perjuangan bukan satu perkara mudah. Tetapi penuh cabaran dan tahan uji.”

“Saya nampak ketegasan Allahyarham terutama dalam memimpin mogok untuk menentang campur tangan Umno dalam Utusan Melayu,” katanya.

TAGS