Zaidi syukur Kementerian Pertahanan pertimbangkan bayar ‘one-off’

Zaidi syukur Kementerian Pertahanan pertimbangkan bayar ‘one-off’

Bekas Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zaidi Ahmad akur dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang menyatakan beliau tidak layak untuk menerima pencen berikutan kesnya tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur apabila mereka sedang mempertimbangkan bayaran ganjaran perkhidmatan secara one-off yang jumlahnya belum diputuskan.

“Saya akui keputusan MAT sebelum ini yang menyatakan saya tidak layak mendapat pencen mengecewakan saya pada mulanya namun saya semakin menerimanya atas dasar “ianya sudah takdir saya dan ianya bukan bermakna dunia saya sudah berakhir,” tulis beliau di laman Facebooknya.

Katanya, pihak Kementerian Pertahanan telah meminta maklumat tambahan terutama kedudukan kewangan beliau sekarang ini sebelum mereka membuat keputusan akhir dipercayai bulan depan.

“Terima kasih YB Abang Mat, pimpinan-pemimpin PH lain dan semua rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan dan semangat kepada saya dan keluarga agar terus tabah dan bersabar menghadapi cabaran hidup,”ujarnya.

Beliau percaya jika Umno BN terus mentadbir negara ini nasibnya akan sama seperti dahulu dalam erti kata lain ‘satu sen pun tidak dapat’.

“Alhamdulillah Pakatan Harapan telah berjaya menyelamatkan Malaysia dari dimusnahkan oleh rejim kleptokrat Najib Umno BN, saya rasa selamat sekarang dan rasa teringin nak terbang kembali,” luah beliau.

Beliau berkata, seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, ianya sedang dipertimbangkan oleh MAT.

Tambahnya, walaupun mesyuarat MAT dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan namun beliau tidak berkuasa untuk membuat keputusan sesuka hati kerana ianya melibatkan undang-undang dan peraturan Angkatan Tentera yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Zaidi berkata demikian ekoran terdapat satu artikel berbaur fitnah ke atasnya yang bertajuk “Mejar Zaidi ugut jatuhkan kerajaan PH kerana tak dapat habuan’.

“Jelas tulisan itu bertujuan memburukkan nama saya dan cuba melaga-lagakan saya dengan pimpinan PH. Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnyanya tulisan blog tersebut yang jelas begitu dengki dengan kejayaan Pakatan Harapan memenangi PRU14,” katanya.

Pada Mei lalu beliau pernah membuat permohonan kepada Mohamad Sabu yang ketika itu baru menjadi Menteri Pertahanan.

Dalam permohonannya, Zaidi meminta agar pencennya dikembalikan atau beliau dimasukkan semula dalam TUDM atas asas dirinya sebagai juruterbang berpengalaman yang “dipaksa” melepaskan jawatan oleh kerajaan BN.

Zaidi dipecat pada 12 Januari 2015 selepas mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal.

Beliau membuat laporan polis ketika PRU 2013, dan tindakan itu dianggap bertentangan dengan etika kerjanya.

9.5
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 10.0