Malaysia Dateline

Zailah patut tangani isu remaja mangsa rogol, tikam bayi bukan nasihat rumah tangga

Amat menyedihkan apabila Malaysia sekali dimalukan di luar negara dengan tindakan kurang bijak Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat dengan penyiaran satu video suami mendidik isteri dengan kaedah memukul.

AWAN Kelantan menyarankan agar Timbalan Menteri Datuk Siti Zailah dapat memberikan fokus kepada pembuatan polisi dan dasar yang membela dan membangun wanita.

Ini kerana menurut Ketua AWAN Kelantan Dr Hafidzah Mustakim dalam kes seperti ini agama Islam akan di salah ertikan.

Zailah patut tangani isu remaja mangsa rogol, tikam bayi bukan nasihat rumah tangga
Ketua AWAN Kelatan Dr Hafidzah Mustakim

“Allah mengangkat kedudukan wanita dalam surah AnNisa yang menjelaskan hak-hak wanita dan perintah orang lelaki menunaikan tanggungjawab mereka dan jangan sampai melampaui batas yang ditetapkan Allah.

“Wanita bukan untuk dijual beli dan diabaikan sesuka hati sehingga dengan adanya peraturan ini tidak sepatutnya wujud diskriminasi gender dalam masyarakat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, Zailah sepatutnya bertindak pantas menangani kes yang bakal mengundang tragedi berganda seperti isu seorang remaja 15 tahun mangsa rogol di Terengganu menghadapi pertuduhan bunuh kerana menikam bayinya yang baharu lahir sehingga mati.

“Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Tidak terbayang trauma yang dihadapi anak bawah umur ini sehingga menjejaskan kesihatan emosi dan mentalnya. Adakah sesiapa yang peduli dan memberikan bantuan,” soal beliau.

AWAN mendesak Kementerian Wanita bertindak pantas menangani kes ini yang sudah ada desakan untuk pertuduhan diubah kepada infanticide (pembunuhan bayi) yang membawa hukuman lebih ringan.

“Yang pasti Kerajaan Malaysia mesti mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak daripada gangguan dan keganasan seksual.

“Pendekatan holistik diperlukan untuk menangani isu keganasan dan gangguan seksual termasuk pencegahan dan perawatan meliputi pendidikan sehinggalah penguatkuasaan Undang-undang,” katanya lagi.

Datuk Seri Rina dan Datuk Siti Zailah katanya perlu mempercepatkan proses perlaksanaan RUU ganguan seksual disamping peruntukan undang-undang sedia ada.

Siti Zailah pada Sabtu memuat naik klip video dua minit di Instagram menyarankan suami boleh menggunakan “sentuhan fizikal lembut tetapi tegas” untuk menegur isteri. Beliau juga memberi nasihat agar suami memisahkan tempat tidur selama tiga hari sebagai cara menjaga keharmonian rumah tangga, sekiranya berkonflik dengan pasangan mereka.

Dalam pada itu, badan bukan kerajaan, Sisters in Islam menyifatkan Siti Zailah “jahil” dalam mendalami realiti dihadapi wanita.

Ia turut menyifatkan video yang dimuat naik Siti Zailah memalukan kementerian itu dan kerajaan secara keseluruhan.