Malaysia Dateline

Zainal Abidin tekad bawa Melaka United bangkit musim 2020

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan bertekad untuk bangkit membawa pasukannya melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia musim 2020 selepas terus diberi kepercayaan untuk melatih skuad Sang Kancil.

Beliau yang juga pemain kebangsaan era 80-90an berkata mandat yang diberi pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bagi membentuk satu pasukan yang ampuh akan digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan dan pencapaian musim lalu.

Katanya, berbanding musim lalu pihaknya tidak menafikan, Melaka United bermula dengan baik sebagai salah satu pasukan mencabar namun berlaku sedikit kejatuhan atas sebab tertentu menyebabkan penurunan prestasi pasukan.

“Perkara ini telah dibawa serta dibentangkan dalam mesyuarat persatuan untuk mencari punca dan jalan penyelesaiannya dan Insya-Allah tahun ini kita akan memperbaiki kesilapan serta kelemahan yang ada.

“Alhamdulillah, saya juga mengucapkan terima kasih kepada MUSA atas kepercayaan yang diberikan ini, banyak yang saya lalui pada musim 2019 dan apa yang penting kita kena tingkatkan daripada pelbagai sudut di dalam dan di luar padang,” katanya kepada Bernama, pada Ahad.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 57 tahun itu berkata melalui persediaan awal yang dilakukan sehingga kini 99 peratus pemain tempatan telah berada dalam senarainya yang disifatkan sebagai seimbang daripada segenap aspek merangkumi pemain muda dan senior serta berpengalaman.

Katanya, setakat ini semuanya berjalan lancar serta berada di tahap terbaik untuk mempersiapkan pasukan biarpun beberapa kuota pemain import masih belum dipenuhi termasuk dari Asia Tenggara selepas pemain kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya bersama skuad Sang Kancil.

“Selain mahu mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk Won, kita sememangnya mahukan Patrick ada dalam pasukan ini, tetapi pada saat akhir beliau telah memaklumkan akan pergi ke Liga Thailand dan ia satu tawaran yang cukup baik untuknya yang kita tidak mampu menghalang beliau.

“Sama ada kita akan mencari pengganti kerana kita mahu pemain berkenaan mempunyai kualiti setimpal Patrick berikutan prestasi ditunjukkan musim lepas atau mengunakan empat import sahaja dan ia akan diputuskan nanti selepas perlawanan pra musim,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini beliau yakin telah mempunyai pemain tempatan yang boleh mengisi kekosongan itu selain percaya dengan senarai mereka yang berada dalam pasukan Hang Tuah itu untuk musim depan.

Zainal yang mula membimbing Melaka United sejak musim 2019 telah membawa pasukan itu menduduki kedudukan keenam Liga Super memperbaiki satu anak tangga berbanding musim sebelumnya selain melepasi pusingan kumpulan dalam Kempen Piala Malaysia sebelum ditewaskan Pahang dengan agregat 1-6 di peringkat suku akhir.

Terdahulu, skuad Sang Kancil telah mengumumkan kemasukan pemain import dari Columbia, Romel Morales Ramirez selain pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh Ferns, bekas penjaga gol Felda United, Norazlan Razali dan bekas pemain PJ City FC, Annas Rahmat selain dua pemain kelahiran negeri itu, Muhammad Shyamierul Razmee Jasmi dan Fakhrullah Rosli.

Bagaimanapun, Melaka United terus mengekalkan khidmat penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Ahmad Solehin Mamat selain Safiq Rahim, Faizal Talib, Razman Roslan dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman serta Saiful Ridzuwan Selamat.