Malaysia Dateline

Zaini perjelas lima jenis loji utama rawatan air

Zaini Ujang

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang hari ini berkongsikan maklumat berkenaan lima jenis loji rawatan.

Pakar teknologi air itu turut memberitahu situasi pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, Selangor.

“Kes di Rawang semalam, muka sauk loji air adalah 17 kilometer di hilir titik pelepasan loji rawatan kumbahan,” katanya sebagai reaksi terhadap soalan seorang pengguna Facebook.

Berikut adalah penjelasan beliau berkenaan lima jenis loji utama rawatan air:

Dalam bidang pengurusan air, sekurang-kurangnya ada lima jenis loji utama:
1. Loji rawatan air
2. Loji rawatan kumbahan
3. Loji rawatan efluen industri
4. Loji rawatan enap cemar
5. Loji rawatan buangan terjadual

Loji rawatan air untuk memproses air mentah sehingga sesuai untuk dijadikan air minuman. Pemilik loji: Syarikat Air atau Pengurusan Aset Air Berhad, dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air

Loji rawatan kumbahan untuk membersihkan kumbahan (termasuk kumbahan bukan najis, greywater) sehingga boleh dilepaskan ke alur air atau sungai mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dioperasi oleh IWK dan beberapa syarikat lain, dimiliki oleh pemilik lesen dll, dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air.

Loji rawatan efluen industri untuk membersihkan efluen industri sehingga boleh dilepaskan ke alur air atau sungai mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dioperasi dan dimiliki oleh pemilik industri.

Loji rawatan enap cemar untuk membersihkan enap cemar daripada kumbahan atau efluen industri sehingga boleh ditebus guna, atau cecair boleh dilepaskan ke alur air atau sungai mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dioperasi oleh IWK untuk enap cemar kumbahan, dan dioperasi dan dimiliki oleh pemilik industri, dimiliki oleh pemilik lesen dll untuk enap cemar efluen industri.

Loji rawatan atau kemudahan buangan terjadual untuk membersih dan melupuskan buangan terjadual daripada pelbagai industri mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dioperasi dan dimiliki oleh pemegang lesen: 6 loji pelupusan buangan berjadual dan 309 loji merawat dan kitar semula.

Loji lain:
Loji rawatan sisa (residue) loji air
Loji rawatan kumbahan bukan najis dll