Malaysia Dateline

Zakaria akan tahu butiran pemecatannya kalau hadir mesyuarat MPP

Zakaria Abd Hamid

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid akan mengetahui butiran pemecatannya jika beliau hadir mesyuarat MPP semalam, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sepatutnya dia sebagai ahli MPP menghadiri mesyuarat semalam dan dia akan mengetahui semua butiran apa yang berlaku.

“Itu yang sepatutnya berlaku dan dia akan dapat menjawab semua persoalan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zakaria yang terkejut dengan berita pemecatannya daripada PKR.

Timbalan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas melancarkan Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM), di sini hari ini.

Zakaria yang merupakan Ketua Cabang PKR Bera dan seorang ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi, dipecat daripada PKR berkuat kuasa semalam atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lepas.

Zakaria dalam satu kenyataannya berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertuduhan disiplin terhadapnya oleh mana-mana pihak, selain tidak dipanggil untuk membela diri seperti yang biasa dilakukan oleh mana-mana badan politik berkanun.