Zakaria harap Lembaga Rayuan PKR panggil beri keterangan

Zakaria harap Lembaga Rayuan PKR panggil beri keterangan

Bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid berharap Lembaga Rayuan parti akan memanggil beliau untuk memberi keterangan berhubung isu pemecatannya.

Ia susulan pihaknya telah mengemukakan surat rayuan kepada Lembaga Rayuan parti pada jam 3.10 petang tadi di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya.

“Saya berharap Lembaga Rayuan memanggil saya untuk memberi keterangan, tidak seperti Lembaga Disiplin yang sebelum ini mengenepikan proses asas pendengaran terhadap tertuduh.

“Saya masih menaruh harapan untuk keputusan pemecatan tersebut dipertimbangkan semula dan ditarik balik selepas memberi peluang saya membela diri.

“Saya juga terkilan dengan tindakan Setiausaha Agung parti yang telah membuat pendedahan terperinci kes ini kepada media massa, dan perwakilan di Kongres Nasional Ahad lalu sebelum tempoh rayuan berakhir,” kata Zakaria dalam kenyataan, hari ini.

24 November lalu, BH melaporkan Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera bersama seorang lagi anggota parti itu dipecat daripada PKR berkuat kuasa 24 November atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan mereka disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim hasil mesyuarat bulanan MPP.

Menurut Ahmad, kedua-dua individu itu dipecat selepas menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).