Zakat dan Rahmatan Lil ‘Alamin

Zakat dan Rahmatan Lil ‘Alamin

Wan Anwar Wan Ibrahim 

Saya mengikuti rakaman syarahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam Akademi Zakat (AZKA) Talk yang julung kali diadakan dengan tajuk ‘Peranan Zakat Dalam Menangani Kesenjangan Ekonomi: Satu Analisa Kontemporari’.

Satu inisiatif menarik usahasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Shah Alam yang merupakan satu program perkongsian ilmu berkaitan zakat daripada tokoh-tokoh berpengaruh.

Inisiatif yang turut disiar secara lansung di Facebook ini unik kerana bukan sahaja ia memberi pendedahan ilmu dan perkembangan pengurusan Zakat kepada orang awam, malah lebih utama ia dapat memberi pendedahan kepada penggubal polisi (policy-maker) akan isu-isu yang mungkin boleh dibawa ke peringkat penggubalan dasar dan hala tuju negara.

Jemputan seorang tokoh negarawan seperti DSAI mendatangkan impak yang berkesan dari segi liputan media apabila hampir semua media utama menampilkan isi syarahan DSAI dalam program tersebut.

Ia tidak lansung menyuntik kesedaran orang ramai untuk menunaikan kefardhuan Zakat malah memberi peluang diskusi umum masyarakat untuk berlaku baik di medan maya, forum, diskusi, persidangan majlis fatwa atau pun mungkin di peringkat Dewan Rakyat di Parlimen kelak.

Bantuan zakat pada non-Muslim

Antara isi syarahan DSAI adalah supaya institusi zakat melakukan tajdid (pembaharuan) dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Menurut beliau, dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

Isu ini mendapat liputan hangat di media dan turut mendapat ulasan para mufti antaranya Mufti Perlis, SS Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor. Kedua-duanya bersetuju dengan beberapa syarat.

Melihat pada beberapa fatwa Majlis Agama Islam Negeri juga sebagai contoh Negeri Sembilan pada tahun 2012 pernah memutuskan bahawa, pemerintah diharuskan memberi zakat kepada orang bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah.

Walau bagaimanapun, pengagihan zakat perlu diberi keutamaan kepada umat Islam mengikut asnaf-asnaf yang telah ditetapkan.

Terbaharu, Majlis Agama Islam Perlis sejak lebih dua tahun lepas memutuskan wang zakat boleh diberi kepada asnaf bukan Muslim selain daripada asnaf Muslim dengan harapan hati mereka mudah menerima Islam.

Tidak kurang juga ada yang membantah secara terus, antaranya bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas, Dr. Zaharuddin Muhammad yang melabel DSAI dengan label-label yang tidak wajar.

Bagi saya, Dr. Zaharuddin gopoh kerana umum mengetahui bahawa isu pemberian zakat pada non-Muslim ini adalah isu khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan Fuqaha (sarjana Fiqh).

Malah dalam program tersebut, DSAI telah menukilkan pandangan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi) dalam kitab agungnya Fiqh al-Zakah.

Dr. Yusuf telah membuat Tarjih (menguatkan salah satu daripada dua dalil) di mana zakat boleh diberikan berdasarkan asnaf muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam.

Selari dengan pandangan itu, DSAI menyebut bahawa langkah ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama contoh dan menjinakkan hati non-Muslim dengan bantuan zakat adalah satu strategi dakwah yang baik.

Inilah konsep Islam sebagai agama Rahmah yang dikempenkan oleh Kerajaan Malaysia pada hari ini.
Islam sebagai agama yang memberi bantuan kepada semua dan melihat semua sebagai mad’u (sasaran dakwah) agar akhirnya sahabat-sahabat non-Muslim kita boleh menerima Islam.

Transformasi minda institusi agama

Saya turut tertarik dengan isi syarahan DSAI yang menekankan keperluan institusi agama khususnya institusi zakat melakukan transformasi minda atau istilah kampungnya ‘mindset’.

Perubahan mindset adalah elemen penting dalam menjamin kejayaan mana-mana entiti dan organisasi. Dengan mindset yang betul, berilah 1001 tugas dan arahan pun, ia mampu dilaksanakan dengan jayanya.

Institusi zakat diseru untuk mempunyai mindset membantu. Malah, bantuan yang disalur itu perlu difikirkan agar ia tidak bersifat ‘one-off’ tetapi mampu mengeluarkan terus asnaf daripada belenggu kemiskinan.

Inilah masalah yang kita hadapi dalam mana-mana agensi kebajikan masyarakat, masalah mengeluarkan orang miskin daripada kitaran kemiskinan atau ‘poverty-cycle’.

Suka untuk saya merujuk kepada Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi atau ‘Multi-Dimensional Poverty Index’ (MPI) yang digunapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengukur tahap kemiskinan.

Di Malaysia, MPI ini diperkenalkan pada 2015 dan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020).

Berbeza dengan ukuran gaji sebagai penentu tahap kemiskinan, MPI turut mengukur tahap kesihatan, tahap pendidikan, persekitaran hidup, dan akhirnya gaji sebagai penentu kemiskinan. Ia lebih komprehensif dan lebih berkesan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Tidak dinafikan, institusi zakat kita mempunyai jenis-jenis bantuan yang menjurus kepada aspek-aspek itu seperti bantuan dialisis dan biasiswa pendidikan.

Namun, adakah aspek itu turut digunakan dalam proses penilaian asnaf dan juga penggubalan strategi agihan bantuan asnaf hingga akhirnya mereka menjadi pembayar zakat.

Isu ini bagi saya ketara, tambahan pula dengan pendedahan wakil Bank Dunia, Kenneth Simler baru-baru ini yang mendedahkan bahawa kadar kemiskinan negara mungkin lebih tinggi pada kadar 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang direkodkan kerajaan.

Ini berpunca daripada mekanisme penentuan tahap kemiskinan yang lapuk dan tidak diselarikan dengan perkembangan semasa, masalah sama yang mungkin turut dihadapi oleh institusi zakat kita.

Inovasi pelengkap transformasi

Agensi pelarian PBB atau United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) tahun ini telah melancarkan satu inisatif yang dinamakan sebagai ‘Refugee Zakat Fund’.

Inisiatif ini dicadangkan seawal tahun 2013 dengan harapan dana besar zakat antarabangsa yang dianggarkan bernilai USD300 billion setahun dapat dimanfaatkan untuk membantu hamper 68.5 juta pelarian seluruh dunia yang majoritinya merupakan umat Islam.

Setelah enam tahun dengan siri perbincangan dan konsultasi dengan para Ulama dan badan fatwa, akhirnya inisiatif ini dilancarkan. Sehingga hari ini, sebanyak USD14.4 juta zakat telah berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada lebih 6,888 keluarga pelarian di Jordan, Yaman, dan Lubnan.

Inisiatif ini menarik bagi saya pada beberapa sudut dan elok jika ia boleh dicontohi institusi zakat negara. Pertamanya, akses laporan yang mudah dan menarik.

Dalam laporan bertajuk ‘UNHCR Zakat Program: 2019 Launch Report’, pembaca boleh mengikuti perkembangan inisiatif ini daripada A-Z, daripada proses mengenalpasti penerima hinggalah kepada projek-projek akan datang.

Laporan dan maklumat seperti ini bagi saya amat penting dalam membina imej institusi zakat yang telus dan mendapatkan kepercayaan pembayar zakat.

Kedua, konsep 100 peratus zakat kepada penerima. UNHCR menggerakkan bantuan zakat kepada pelarian dengan 0 kos pengurusan. Ini antara ciri yang menyebabkan mereka berhasil mendapatkan sehingga lima fatwa yang mengharuskan pembayaran Zakat kepada UNHCR.

Ia sesuatu yang menarik, paling kurang institusi zakat kita mendedahkan kepada umum kos pengurusan yang diambil daripada sumber zakat ataupun ada sumber lain yang digunakan atau mungkin membuat satu projek khusus penjanaan dana pengurusan.

Ini juga bertujuan menjamin ketelusan Institusi Zakat dan membina kepercayaan pembayar zakat.
Akhir sekali, penggunaan teknologi Fintech dalam menjamin agihan yang efisien.

Pelbagai platform digunakan dan dirancang akan digunakan oleh pihak UNHCR seperti PayZakat, Zakatify, Blossom Finance dan Coin Up yang memudahkan akses pembayar zakat untuk membuat pembayaran (malah boleh dibuat dengan cryptocurrency) dan akses penerima zakat untuk menerima zakat.

Ia tentunya satu ruang yang harus diterokai oleh kita dalam menjadi contoh pengurusan zakat kepada dunia.

Saya seperti jutaan umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya mengharapkan pengurusan zakat kita dapat berfungsi secara efektif, menjadi contoh dalam bab pengurusan kepada negara lain, dan akhirnya menjadi asbab masyarakat non-Muslim tertarik dengan Islam.

Inilah dia semangat Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh alam!

 

* Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.