Zakat fitrah Kelantan naik RM1 tahun ini – Maik

Oleh MALAYSIADATELINE

Zakat fitrah adalah satu zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan.

Sebelum ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah adalah pada RM7.

Tahun ini Maik membuat keputusan untuk menaikkan kadar bayaran zakat Fitrah kepada RM8, hal ini berdasarkan kenyataan dimuat naik Maik di Facebook rasminya.

Yang Dipertua Maik, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, individu boleh membuat bayaran RM14 atau RM21.

Ini adalah berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan dan ia lebih digalakkan.

Menurutnya, jumlah ketetapan zakat fitrah itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Kadar nisab zakat harta bagi Kelantan tahun ini sebanyak RM29,376 untuk haul antara Ramadan tahun 1446 hijrah hingga Ramadan tahun 1447 hijrah.

“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal yang dibuka dalam masjid-masjid bandar, masjid-masjid jajahan.

“Pembayaran zakat juga boleh dibuat menerusi portal Maik di zakat.e-maik.my,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Maik mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan bayaran zakat itu.

“Semoga dengan pembayaran zakat ini, kita dapat membantu golongan yang memerlukan dan meningkatkan keberkatan dalam kehidupan,” ujarnya.

Portal zakat Selangor menjelaskan orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Baca juga: Terjawab akhirnya kenapa awal tahun pun beras tempatan tak ada di pasar raya