
Institusi Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu mencari mekanisme baharu untuk membantu golongan asnaf dan miskin, kata Timbalan Ketua Bahagian Bersatu, Tasek Gelugor, Azmi Alang.
Beliau berkata, reformasi yang harus dilaksanakan bukan hanya menanti golongan asnaf dan miskin untuk meminta-minta di pejabat-pejabat zakat yang ada.
“Gerak kerja zakat negeri mesti diubah secara drastik dan sistematik.
“Jangan hanya mengharapkan mereka yang miskin, cacat, warga emas, hidup melarat, tempang, berpakaian lusuh mundar-mandir dan juga bertongkat untuk mendapatkan bantuan dari pihak zakat.
“Sepatutnya beberapa perubahan boleh dilakukan dengan memberi tugas dan tanggungjawab kepada jawatankuasa masjid dan surau untuk menyenaraikan mereka yang perlu diberi bantuan setiap bulan.
“Manakala JKKK sekiranya ada boleh juga menyenaraikan mereka yang memerlukan dengan tidak menyisihkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dalam fahaman politik untuk menerima bantuan zakat maupun JKM, ” ujarnya ketika ditemui.
Malah katanya sebelum ini banyak aduan yang diterima mendakwa mereka yang sepatutnya mendapat bantuan zakat dan JKM tidak menerima bantuan tersebut, sebaliknya mereka yang lebih berupaya pula menerima bantuan.
Oleh kerana itu tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan yang mulai menerajui kepimpinan kerajaan harus memperbaharui polisi sedia ada agar skop bantuan dapat diperluaskan lebih lebar kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Jangan jadikan perbezaan ideologi politik sebagai batasan untuk tidak disalurkan bantuan kepada yang hak.
“Pegawai zakat dan JKM mesti lebih agresif dan turun padang sehingga ketengah bendang dan ceruk untuk melihat lebih dekat mereka yang benar-benar perlu dibantu.
“Zaman ini bukan lagi zaman untuk tunggu di pejabat semata-mata dengan harapan ada golongan miskin yang memohon bantuan, sewajarnya konsep ini diubah dengan segera, ” tegasnya.
Sehubungan itu katanya, Zakat Pulau Pinang dan JKM perlu melaksanakan penambahbaikan dengan turut mendapatkan bantuan senarai nama golongan asnaf dan miskin dari jawatankuasa kariah masjid dan surau setiap bulan dan bukannya setahun sekali.