Malaysia Dateline

Zakat Pulau Pinang belanjakan RM15.1 juta untuk bantuan COVID-19

Sejumlah RM15. 1 juta telah pun dibelanjakan khusus untuk Pakej Bantuan Covid-19 serta agihan dan kemungkinan akan terus meningkat selepas tamatnyactempoh moratorium pada bulan September nanti.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali ketika mengiringi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menerima serahan zakat korporat berjumlah RM1. 23 juta daripada wakil ANGKASA, Maybank Islamic Berhad, Bank Muamalat Berhad, QSR Brands, Etiqa Family & General Takaful Berhad dan Rural Capital Berhad.

Jelas beliau lagi, jumlah permohonan bagi mendapat bantuan zakat sehingga Jun yang lalu meningkat jika dibandingkan tempoh yang sama pada tahun 2019 yang lalu.

“Pada asalnya kutipan bagi tahun ini disasarkan sebanyak RM136 juta. Namun begitu ia akan diunjurkan semula dengan pengurangan sebanyak 10 peratus ekoran impak penularan wabak Covid-19.

“Adalah dijangkakan jumlah permohonan bagi mendapatkan bantuan ZPP akan bertambah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan telah dijadualkan sehingga akhir bulan Ogos.

” Unjuran asal tersebut sebanyak RM136 juta disemak semula setelah mendapat persetujuan Lembaga Pengarah ZPP dan disasarkan dengan unjuran baru sejumlah RM122. 4 juta,” tegasnya.