Malaysia Dateline

Zakat Selangor kesal, dah bagi rumah sewa percuma pada asnaf tapi ditinggalkan dalam keadaan kotor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluahkan rasa kesal selepas salah seorang asnaf yang menerima bantuan rumah sewa, tidak menjaga kediaman yang diamanahkan dengan baik.

Menerusi perkongsian LZS baru-baru ini, asnaf berkenaan mendapat bantuan rumah dari zakat dan dipercayai meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan kotor serta tidak terurus.

Ia berdasarkan hantaran Facebook pemilik rumah sewa berkenaan yang memuatnaik keadaan rumah dalam keadaan sangat kotor dan dipenuhi sampah.

LZS dalam kenyataan berkata, tindakan asnaf itu dibimbangi boleh memberi kesan kepada asnaf lain yang benar-benar memerlukan bantuan.

“LZS amat kesal dengan tindakan penyewa tersebut yang dimaklumkan seorang asnaf, meninggalkan rumah dalam keadaan kotor dan rosak.

“LZS ingin mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan ini untuk amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa diduduki.

“Tindakan menganiaya pemilik rumah sewa ini akan menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, pemilik rumah berkenaan telah disarankan untuk membuat aduan rasmi ke LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah tersebut memandangkan penyewa tidak lagi menetap di situ.

Untuk makluman, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah dari LZS.

Bantuan berbentuk bulanan ini disalurkan terus ke akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di Selangor.