Malaysia Dateline

Zakat untuk mangsa banjir, boleh ke?

1. Sebenarnya, bolehkah orang kena banjir dapat bantuan zakat?

2. Ada segelintir asatizah pernah mengkritik kami di institusi zakat (khususnya di LZS) kerana kami membantu mangsa banjir dengan bantuan zakat. Kata mereka, mana ada bantuan fisabilillah untuk mangsa banjir?

3. Sebenarnya fuqaha terdahulu dan fuqaha kontemporari telah pun membahaskan perihal bantuan zakat kepada orang-orang yang ditimpa musibah ini (termasuk banjir) secara panjang lebar. Jika kita tidak pernah membaca atau tidak pernah mendengar perbahasan itu, ia bukanlah bermakna hukum mengenainya tidak ada.

4. Maka, janganlah cepat menunding jari dengan mempertikaikan tindakan pihak pengurusan atau institusi zakat negeri. Selalu kita nyatakan, pihak pengurusan zakat bertindak di bawah pengawasan fatwa dan juga pihak mufti negeri masing-masing. Malah ada panitia atau jawatankuasa syarak yang sentiasa memantaunya, yang akan segera menegur jika sesuatu tindakan itu salah atau berlawanan dengan syarak (termasuklah isu Shopee baru-baru ini yang ternyata tidak bercanggah pun dengan syarak).

5. Dalam isu musibah banjir, antara ulama kontemporari yang mengharuskan pemberian zakat kepada mereka ialah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawy , iaitu dimasukkan mereka ke bawah asnaf gharimin. Beliau menyatakan: “Mereka yang mendapatkan berbagai bencana hidup dan mengalami musibah di dalam hartanya, sehingga mempunyai keperluan yang mendesak untuk meminjam bagi dirinya dan keluarganya,” (Hukum Zakat, hal. 595).

6. Imam Mujahid pula menghuraikan dengan lebih rinci: “Tiga kelompok termasuk orang yang mempunyai hutang, iaitu: (a) Orang yang hartanya terbawa banjir; (b) Orang yang hartanya musnah terbakar, dan (c) Orang yang berkeluarga tetapi tiada harta sehingga berhutang untuk menafkahi mereka,” (Hukum Zakat, hal. 595).

7. Apakah makna gharimin? Dalam agihan zakat, asnaf gharimin merujuk kepada orang yang berhutang. Hutang itu pula terbahagi kepada dua, iaitu hutang untuk maslahat awam dan hutang untuk kepentingan diri sendiri. Dalam konteks banjir atau sebarang musibah yang melibatkan bencana alam, ia menyebabkan orang yang mengalaminya menderita kerosakan harta benda yang teruk. Malah untuk meneruskan kehidupan, ada yang terpaksa berhutang.

8. Maka, syarak melihat ada keperluan di sini untuk zakat berfungsi dengan meringankan beban mangsa mlelaui bantuan zakat yang dihulurkan.

9. Selain itu, fuqaha juga membahaskan perihal bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah yang sangat luas cakupannya, termasuklah kepada isu banjir dan musibah bencana alam ini.

10. Kendatipun majoriti fuqaha lebih syadid (tegas) dalam mendefinisikan fisabilillah kepada mujahid (orang yang berperang) dan juga untuk tujuan peperangan menegakkan agama Allah swt, namun ada juga yang meluaskan maksud fisabilillah. Misalnya menurut Imam Ibnu Qudamah: “Zakat yang dikeluarkan untuk untuk membina jambatan-jambatan dan jalan-jalan, itu adalah zakat yang diperbolehkan dan diterima.” (Hukum Zakat, hal. 620)

11. Maka, di sini ada jalan bagi pihak pengurusan zakat untuk membantu mereka yang terjejas dengan musibah banjir dengan santunan zakat.

12. Walau bagaimanapun, dalam praktik atau amalan di negara kita, zakat lebih mendepani keperluan umat secara individu berbanding umum. Maka, dalam isu mangsa banjir ini, institusi zakat lebih membantu kepada individu secara khusus (termasuklah keluarga mereka). Manakala tugas membaiki jalan, jambatan rosak dan sebagainya adalah ditanggung oleh pihak pemerintah.

13. Kesimpulannya, Islam tidak menghalang zakat berperanan dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Maka, sama-samalah kita menunaikan zakat di institusi zakat agar mereka yang teruk terjejas akibat banjir ini dapat sama-sama diringankan bebannya, amin.
————–
Penulis adalah Ketua Jabatan Perundingan Kutipan (Dakwah Kutipan), Lembaga Zakat Selangor (MAIS).