Zakir Naik jawab Kulasegaran: Sangkal persoal kesetiaan masyarakat India Malaysia

Zakir Naik jawab Kulasegaran:  Sangkal persoal kesetiaan masyarakat India Malaysia
(kiri) M. Kulasegaran dan (kanan) Dr Zakir Naik

 Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik menyangkal tuduhan bahawa beliau telah mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini dan menyentuh perkara sensitif melibatkan masyarakat berbilang etnik di Malaysia.

Ia susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, yang mendakwa Zakir Naik menyifatkan penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun begitu, Jelas penceramah berkenaan, kata-katanya telah diterjemahkan dalam konteks yang tidak betul dengan tujuan menganiaya dan mempolitikkan beliau.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan umum seperti yang didakwa oleh mereka bahawa: ‘Adalah malang bahawa orang Hindu di Malaysia, walaupun manfaat, lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi daripada Tun Dr Mahathir’.

“Mengenai tuduhan terhadap saya oleh kerajaan Modi, pendirian saya sangat kategoris. Saya mendapati tidak adil bahawa sesetengah golongan Hindu di Malaysia seolah-olah mempercayai kerajaan Modi lebih daripada Interpol, atau mahkamah India, atau kerajaan Malaysia sendiri.

“Apa yang saya katakan adalah dalam konteks kes saya sendiri. Sesetengah kumpulan Hindu memilih untuk menyokong kerajaan Modi dalam permintaan ekstradisi walaupun tidak ada bukti terhadap saya. Interpol, mahkamah India dan kerajaan Malaysia sendiri telah menolak tuduhan palsu yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, beliau juga sebenarnya telah memuji cara Islam yang di amalkan oleh Malaysia kerana menegakkan hak kaum hindu dalam negara, yang mana kerajaan India sendiri gagal lakukannya terhadap minoriti dalam negara itu.

“Tuduhan yang dilaporkan dalam media bersifat jahat dan direka bukan sahaja untuk mempolitikkan saya tetapi juga menuduh saya telah mewujudkan ketidakharmonian agama dalam masyarakat.

“Pujian saya terhadap kerajaan Malaysia kerana sikap Islam dan adil terhadap minoriti Hindu, sedang diputarbelitkan dan direka untuk kepentingan politik yang akan mencetuskan perbalahan kaum,” ujarnya.