Zakir Naik lebih baik berdiam diri, saran Presiden Murshid

Zakir Naik lebih baik berdiam diri, saran  Presiden Murshid
Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dinasihati untuk berdiam diri dari mengeluarkan kenyataan balas berbentuk provokasi terhadap mana-mana pihak yang tidak suka kepadanya yang boleh melebarkan lagi keretakan kaum dalam negara.

Presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana, terdapat perbezaan peruntukan kebebasan bersuara bagi warganegara berbanding taraf penduduk tetap atau Permanent Resident (PR) yang belum mendapat kerakyatan.

Dr Zakir Naik

Dr Zakir Naik

Justeru katanya,berdasarkan ‘Fundamental Liberties’ perkara 10 perlembagaan Persekutuan, sememangnya terdapat sekatan atas kebebasan bersuara terhadap PR.

“Oleh itu, adalah lebih baik beliau berdiam sahaja dari sebarang ucapan yang boleh memprovokasi atau menyindir mana-mana pihak yang tidak suka kepadanya di Malaysia ini.

“Ucapan terbabit jika dipolitikkan atau dipakaikan ‘pakaian perkauman’ pula akan lebih menyukarkan keadaan memberikan perlindungan kepadanya nanti.

“Isu perkauman memang sedap dan mendapat sambutan jika dimainkan. Kerana itu, saya secara peribadi menasihati diri dan yang lain agar elak diri dari memperbesarkan sebarang isu yang boleh melebarkan retakan perkauman di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, isu kepelbagaian kaum dalam negara seharusnya ditangani dengan penuh cermat dan semangat kerjasama tanpa melibatkan apa-apa publisiti.

Beliau berkata, semua pihak dan kaum perlu mengamalkan sikap ‘lose some and win some for the larger benefits’ kerana sikap mahu menang dalam semua keadaan merupakan formula yang gagal.

Jelasnya juga, kerajaan hari ini jelas dilihat gagal dalam mengendalikan provokasi perkauman dari pelbagai pihak termasuk dari dalam kerajaan dengan baik.

“Apa-apa pun, Zakir sudah meminta maaf. Apa yang kini kita mahukan adalah, pemimpin politik termasuk menteri khususnya menteri perpaduan yang tidak ‘performed’ dalam tugasnya, yang turut pernah mengeluarkan kenyataan perkauman lebih teruk lagi untuk segera meminta maaf.

“Selaku rakyat kita desak kerajaan segera mengendalikan dengan bijaksana sama ada dengan rahmah dan diplomasi atau dengan rahmah secara undang-undang yang tegas,” ujarnya.