Zakir Naik tentukan survival kerajaan PH?

Zakir Naik tentukan survival kerajaan PH?

Fenomena isu kecil diperbesarkan sehingga sentimennya tidak terkawal, semakin menjadi-jadi. Belum reda isu pengenalan tulisan Jawi/ seni Khat di sekolah jenis kebangsaan, masyarakat kita berkocak sekali lagi lantaran kehadiran Zakir Naik, dengan kenyataannya yang cukup kontroversi.

Sesungguhnya, dari kaca mata masyarakat Muslim di Malaysia, Zakir Naik adalah mangsa kezaliman kerajaan India; di samping beliau dikagumi kerana kepetahannya untuk berdebat, ditambah pula daya ingatannya yang hebat untuk memetik ayat dari kitab-kitab ketika membandingkan agama.

Namun demikian, dari kaca mata masyarakat non-Muslim di Malaysia, Zakir Naik adalah seorang warga India yang dikaitkan dengan tuduhan pengubahan wang haram, malah terdapat laporan bahawa beliau disyaki menyebar kebencian dan keganasan dalam ucapannya – yang mana Zakir Naik mendakwa ucapannya dipetik di luar konteks – sebagaimana yang berlaku baru-baru ini. Dalam bab kehebatan beliau berpidato pula, terdapat tulisan dan klip video yang membedah, bagaimana Zakir Naik melakukan kesilapan ketika memetik dan menafsir ayat agama lain.

Jelas, jurang maklumat membezakan persepsi Zakir Naik dalam kalangan komuniti yang berasingan. Tidak sukar kita memahami sentimen masyarakat Muslim terhadap Zakir Naik, yang menganggap beliau sebagai saudara seagama.

Tetapi, pada masa yang sama, tidak sukar untuk kita memahami ketidakselesaan non-Muslim juga. Satu soalan sahaja yang melantun-lantun dalam hati mereka – Apakah mereka memiliki hak, kebebasan dan peluang yang sama dengan Zakir Naik, untuk menjawab tuduhan beliau terhadap agama mereka?

Isu ini akan berakhir dengan hanya dua kesudahan, sama ada Zakir Naik dikekalkan status penduduk tetap di Malaysia, atau dihantar ke luar negeri (sama ada pulang ke negeri asalnya India, mahupun di negara Muslim yang sanggup menaungi beliau). Apapun yang berlaku, kita perlu meredakan emosi semua komuniti masyarakat di Malaysia.

Persoalan yang terpampang di depan kita, apakah masyarakat Malaysia telah mencapai muafakat dalam isu ini? Untuk pihak yang membela Zakir Naik, pelbagai dalil diketengahkan untuk mempertahankan beliau. Malah, terdapat hujah yang mengheret kenyataan beberapa orang individu dalam komuniti non-Muslim yang menyinggung perasaan Angkatan Tentera Malaysia dan Melayu, mempersoalkan apakah mereka juga akan diusir dari bumi ini.

Untuk komuniti non-Muslim pula, mereka merasakan diri mereka dihina dengan kenyataan “tetamu lama” oleh Zakir Naik. Mereka mempersoalkan, kerajaan manakah yang akan mengizinkan seorang “tetamu” untuk menghina rakyatnya – yang turut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembinaan negara? Anda tidak menjemput seorang tetamu masuk ke rumah dan menghina ahli keluarga anda, bukan?

Suka atau tidak, apa yang berlaku, telah berlaku. Apapun perbezaan pandangan dan sentimen komuniti yang berlainan dalam isu ini, kerajaan harus tampil dan memberi penjelasan sewajarnya. Sama ada Zakir Naik dibenarkan untuk terus menetap di sini, mahupun dihantar ke luar negeri, kerajaan perlu berdepan dengan rakyatnya.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi kerajaan Pakatan Harapan hari ini berdepan dengan pertikaian dari pelbagai komuniti. Tidak sukar untuk kita menduga reaksinya, seandainya Zakir Naik dihantar ke luar negeri – hujah “Islam dibuli di bawah PH” akan dipopularkan semula; seandainya Zakir Naik dikekalkan status penduduk tetap-nya, non-Muslim akan mempersoalkan, “Apakah Kerajaan PH sanggup memuliakan seorang tetamu yang masuk ke rumah dan menghina ahli keluarganya? Apakah kedudukan kami sebagai rakyat lebih rendah daripada seorang tetamu yang baru memperolehi status penduduk tetap beberapa tahun yang lalu?”

Jadi, apakah hujah kerajaan PH? Adakah kerajaan PH mahu menunggu siasatan polis, sebelum membuat apa-apa keputusan? Jikalau ya, apakah terma siasatan itu? Bilakah siasatan itu berakhir?
Kesemua ini perlu dibentangkan, dan tidak boleh disorok begitu sahaja. Ini kerana sentimen akan bergolek dan berkembang dengan prejudis dan syak-wasangka dalam komuniti masing-masing.
Kerajaan PH perlu peka, bahawa ketidakpuasan rakyat terhadapnya semakin hari semakin ketara. Sudah ramai yang menyindir, “Bila waktu pilihan raya, slogannya Malaysia kita punya. PH kerajaan untuk semua. Tetapi selepas pilihan raya, perasaan kami tidak diambil kira.”

Lebih pelik, semua komuniti merasakan diri mereka dipinggirkan di bawah kerajaan PH. Masyarakat Muslim terasa Islam dibuli, masyarakat non-Muslim pula merasakan haknya semakin terhakis. Dan yang paling menyedihkan, tiada anggota kerajaan yang tampil untuk mengolah persetujuan masyarakat, untuk membentuk muafakat yang boleh diterima majoriti.

Dengan itu, sisa sentimen isu ini akan dibawa kepada isu yang bakal tercetus pada masa depan, sebagaimana sisa sentimen isu seni Khat dibawa masuk ke isu ini. Dan jangan terperanjat jika ia bergolek sehingga menggulingkan kerajaan PH satu hari nanti.