Zakir Naik tidak dibenarkan ceramah di Melaka, kata Ketua Menteri

Zakir Naik tidak dibenarkan ceramah di Melaka, kata Ketua Menteri

Kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan penceramah bebas Dr Zakir Naik menyampaikan ceramahnya dalam apa-apa program di sini sebaliknya mengalu-alukan kedatangannya untuk melancong ke Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata ini adalah bagi memastikan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini terus dipelihara dan Zakir menurutnya perlu lebih memberi fokus kepada aktiviti berdakwahnya dan tidak menyentuh politik perkauman.

“Tidak dibenarkan sebarang program untuk Zakir diadakan di Melaka, namun beliau dialu-alukan untuk melancong ke Melaka bagi mengenali keharmonian hidup bermasyarakat.

“Datanglah ke Melaka untuk melihat sendiri bagaimana keharmonian masyarakat di negeri ini yang dapat hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni dengan kepelbagaian kaum dan jadikanlah Melaka sebagai model perpaduan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Pada 17 April 2016, pendakwah dari India itu pernah membuat ceramah di negeri ini dengan dihadiri lebih 20,000 pengunjung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Hari ini, Zakir dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, selepas yang pertama pada Jumaat lepas (16 Ogos), mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. — BERNAMA