Zakir vs Ramasamy: Menteri tidak wajar buat penghakiman awal, kata Pas

Zakir vs Ramasamy: Menteri tidak wajar buat penghakiman awal, kata Pas

Ahli Parlimen Temerloh Nasaruddin Hassan Tantawi 2

Nasarudin Hassan

Menteri  di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Yusuf Rawa diselar pemimpin kanan Pas kerana didakwa memihak kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy dalam isu tuduhan terbabit dalam aktiviti keganasan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasarudin Hassan berkata, dengan pengakuan Dr Mujahid bahawa Ramasamy adalah kawan baiknya dan tuduhan yang dilempar kepada Ramasami hanya tuduhan liar, telah menampakkan sikap Menteri terhadap isu ini berpihak kepada Ramasamy.

“Selayaknya Menteri tidak membuat keputusan awal sebelum Ramasami ditahan dan disiasat secara rapi. Serahkan kepada PDRM meneruskan siasatan justeru lebih 60 laporan telah dibuat seluruh negara.

“Kenyataan Menteri agama dilihat akan mempengaruhi tindakan pihak polis,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata Nasarudin lagi, isu berkaitan Ramasamy bukan isu peribadi antara Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin  (Dr Maza) dengan Ramasamy semata-mata ia lebih daripada itu.

“Ini isu keselamatan negara. Bukan hanya Dr Maza bantah bahkan seluruh pencinta kedamaian membantahnya.

“Logiknya Menteri kena panggil semua rakyat yang bantah dan buat pertemuan terbuka serta memahami asas bantahan rakyat. Sebab ini bukan isu antara Dr Maza vs Ramasami,” ujarnya.

Beliau merujuk kenyataan yang dibuat Dr Mujahid itu kerana melihat isu ini hanya antara debat yang dicadangkan oleh Dr Maza agar pendakwah dari India itu  Dr Zakir Naik berdebat dengan Dr Ramasamy semata-mata.

Justeru katanya lagi, beliau tidak nampak apa signifikannya pertemuan  tertutup itu dianjurkan.

“Kononnya tertutup dan tidak mahu sensasi sebaliknya mahukan penyelesaian, tetapi Menteri sudah umum kepada media malah menyebut bahawa beliau akan panggil media untuk buat liputan sebelum dan selepas pertemuan itu kelak.

“Siap mention lagi di mana pertemuan itu akan diadakan. Itu bukan tertutup. Itu sudah 2/3 terbuka dan lebih mensensasikan berita,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah bagi menemukan tokoh agama terkemuka, Dr Zakir Naik dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.

Dr Mujahid berkata, pihaknya bersedia menganjurkan satu pertemuan tertutup antara Dr Zakir dan Dr Ramasamy dengan beliau sendiri menjadi orang tengah bagi menjernihkan keadaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penganjuran debat terbuka antara Dr Zakir dan Dr Ramasamy oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza)  bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar di lobi Parlimen pada Rabu.

Pelbagai pihak tampil membuat lebih 50 laporan polis terhadap Dr Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.Polis Pulau Pinang juga sudah mengambil keterangan Dr Ramasamy berhubung laporan itu untuk membantu siasatan.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam kenyataan balasnya  terhadap kenyataan dibuat  Dr Mujahid  pada Rabu pula, menyifatkan tidak ada keperluan lagi untuk beliau bertemu dengan Dr. P. Ramasamy jika pertemuan yang diatur oleh Dr Mujahid itu hanya untuk membela Ketua Menteri II Pulau Pinang tersebut.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan adakah benar Dr Mujahid mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan yang diaturkan itu adalah untuk menamatkan segala tuduhan liar terhadap Ramasamy yang didakwa terlibat dengan gerakan Harimau  Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Soal Mohd. Asri lagi,  bagaimana belum diadakan pertemuan, sudah dibuat keputusan siapa benar dan siapa salah.

Semalam Himpunan aman melibatkan dua kumpulan yang menyokong dan menentang Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy hampir menimbulkan kekecohan di Kompleks Tun Abdu Razak (Komtar) Pulau Pinang.

Sekumpulan NGO Islam cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mendesak supaya beliau mengambil tindakan segera dan campur tangan isu membabitkan Ramasamy.

Satu lagi kumpulan NGO turut berada lebih awal berhimpun di situ bagi menyatakan sokongan mereka kepada Ramasamy.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS