Zakwan Hafiz: Usahawan kereta terbang yang pernah lawan 1MDB

Zakwan Hafiz: Usahawan kereta terbang yang pernah lawan 1MDB

Kereta terbang, istilah yang kini makin menjadi bahan sindiran dan ejekan sesetengah pihak dek kerana teremosi oleh paparan beberapa media massa yang sengaja memberi fokus berlebihan kepada satu projek futuristik pihak swasta yang didukung oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Selaku menteri yang terlibat untuk menjayakan industri masa hadapan ini, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof atau lebih mesra dipanggil Pak Wan merupakan seorang mantan jurutera kanan Petronas yang juga seorang usahawan berjaya. Beliau bukan ahli politik tipikal yang gemar beretorik menjual janji.

Pak Wan telah mengkaji dan melihat potensi industri dron besar jenis boleh dipandu dan bawa penumpang tersebut. Dron jenis ini juga dipanggil FLYING CAR di kalangan komuniti jurutera serta wartawan industri penerbangan terutama di Barat.

Bagi memudahkan pemahaman masyarakat tempatan, maka dron jenis itu dipanggil KERETA TERBANG bagi membezakannya dengan dron-dron jenis lain kerana istilah dron itu bersifat umum. Walaupun hakikatnya kenderaan tersebut bukanlah kereta secara konvensionalnya. Ia seperti Melayu menyebut KAPAL TERBANG walaupun hakikatnya istilah kapal itu untuk kenderaan atas air yang terapung.

Singapura telah mula membangunkan kereta terbang versi mereka sejak beberapa tahun lepas dan kini mereka menyasarkan untuk menjalankan perkhidmatan teksi udara. Kita boleh ketawakan mereka, namun mereka yang akan untung kerana menghargai teknologi dan memanfaatkan kegunaannya untuk masa depan.

Syarikat dari Jerman, Jepun, Amerika Syarikat, China, Rusia dan banyak lagi negara-negara bangsa maju memberi fokus yang serius terhadap teknologi serta industri kereta terbang ini. Syarikat helikopter terkenal Bell dari Amerika Syarikat pun telah menghasilkan Bell Nexus yang merupakan dron jenis kereta terbang tanpa pemandu untuk dijadikan teksi udara.

Adakah warga Malaysia terutamanya kaum Bumiputera mahu terus jadi penonton dan pengguna teknologi pihak luar saja? Dahulu pada tahun 80-an, segelintir rakyat kita mencemuh usaha kerajaan Malaysia pimpinan Tun Dr. Mahathir ketika itu yang mahu mewujudkan projek kereta nasional. Mentaliti rakyat kita ketika itu ialah negara kecil dan baru seperti Malaysia tidak mampu untuk bina kereta sendiri.

Walaupun kini reputasi Proton ada pasang surutnya, namun tidak dinafikan sumbangan Proton terhadap ekonomi dan reputasi negara cukup signifikan. Ramai warga Malaysia khususnya Bumiputera yang mencari makan dengan Proton serta jaringan bisnes yang melibatkan jenama tersebut seluruh negara.

Proton dapat direalisasikan dengan kerjasama syarikat Mitsubishi dari Jepun pada awalnya. Maka tidak hairanlah jika kereta terbang pertama negara dihasilkan dengan kerjasama syarikat dari China. Apa yang penting proses pemasangan serta pembinaan kilang dapat dilakukan dalam negara ini yang mana kelak ia dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Mengikut penjelasan dari Pak Wan, projek kereta terbang ini tidak menggunakan wang rakyat kerana ia inisiatif pihak swasta di mana pihak kerajaan sekadar memberi dukungan serta promosi agar projek ini mendapat keyakinan para pelabur, pemain industri dan bakal pembeli.

Projek ini telah dibentangkan dalam kabinet dan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu usahawan tempatan terutama usahawan Bumiputera yang serius dan berdaya saing. Sasaran pasaran industri ini tidak terhad dalam negara sahaja. Dan kegunaannya melangkaui bidang pengangkutan, pertanian mahu pun pertahanan dan keselamatan.

Siapa usahawan Bumiputera yang terlibat dengan projek kereta terbang ini? Beliau adalah seorang Datuk Seri bernama Zakwanhafiz yang suatu ketika dahulu bersama aktivis NGO Ramesh Rao cuba mendedahkan salah laku 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bersama Ramesh Rao, usahawan tersebut memberanikan diri membuat sidang media mendedahkan isi kandungan dokumen asal 1MDB yang tidak diubah dari pihak peguam seorang mantan eksekutif yang terlibat dengan skandal tersebut bernama Xavier Justo. Ketika itu Justo sedang ditahan di Thailand. Akibatnya, Ramesh Rao memberitahu media bahawa nyawa beliau dan keluarganya terancam setelah pendedahan tersebut. Itulah risiko bagi mereka yang berani kerana benar.

14) InsyaAllah projek kereta terbang ini boleh berjaya kerana ia sedang diusahakan mereka yang berintegriti, bersemangat patriotik, rajin, berani dan bijak demi kebangkitan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat secara tidak langsung suatu hari nanti.

Jom sokong produk nasional

*Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia