Zam perlu teliti dasar pendidikan tahfiz negara terlebih dahulu, kata Pemuda Umno

Zam perlu teliti dasar pendidikan tahfiz negara terlebih dahulu, kata Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail (gambar atas) menyarankan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya meneliti semula Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang telah pun digunapakai oleh kerajaan BN sebelum ini sebelum mencadangkan supaya pusat tahfiz ditutup.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Zainuddin yang menyarankan agar pusat tahfiz yang ada kini ditutup.

“Melalui DPTN kerajaan BN sendiri mensasarkan seramai 125 ribu para huffaz dapat dilahirkan merangkumi golongan profesional juga.

“Seharusnya program Ulul Albab menjadi perhitungan bagaimana ia telah berjaya membawa perubahan besar kepada landskap pelajar termasuk dalam bidang akademik.

“Program ini turut diperluaskan kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara,” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, selain dapat melahirkan insan yang cemerlang, aliran tahfiz mampu untuk menjadikan para pelajar mengimbangi secara seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Malah tegasnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Zainuddin yang mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menutup pusat tahfiz adalah tidak wajar.

“Sebetulnya banyak kesan positif yang diperolehi daripada pelajar yang berada di pusat-pusat tahfiz sedia ada.

“Doa mereka yang menghafal al-Quran amat mustajab dan sepatutnya diberi dokongan.

“Lebih baik ditutup pusat urut dan judi serta pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan kerana ia membuahkan banyak gejala negatif dan maksiat,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu Norhiesam mendesak agar kerajaan PH supaya terus mempertahankan pusat tahfiz dan tidak tunduk kepada anasir yang cuba merosakkan institusi tersebut.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES