Zam persoal laporan polis dibuat Khairul Azwan

Zam persoal laporan polis dibuat Khairul Azwan

Tan Sri Zainudin Maidin membangkitkan persoalan sama ada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin merestui laporan polis terhadap peneraju dan bekas peneraju badan-badan penting dalam negara.

Bekas menteri itu dipetik berkata,  beliau hairan kerana tindakan itu hanya dibuat oleh Naib Ketua Umno Khairul Azwan Harun.

“Saya agak hairan kenapakah dalam tindakan yang begitu penting ini yang melibatkan kepentingan maruah perdana menteri Malaysia dan nama baik Malaysia, Khairy sendiri sebagai ketua Pemuda Umno tidak tampil kehadapan?”

“Adakah beliau tidak mahu terlibat dalam tindakan keperwiraan Pemuda Umno mempertahankan maruah negara itu sebagai tanggungjawab parti?” soalnya seperti dilapor Malaysiakini.

Laporan polis terhadap bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

Khairul Azwan berkata, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Zainuddin berkata langkah itu memberi kesan negatif kepada Najib dan memperlihatkan seolah-olah beliau benar-benar tertekan dan panik dengan penemuan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

COMMENTS

Wordpress (0)