Zamalah Wartawan Malaysia 2018 di Kuching

Zamalah Wartawan Malaysia 2018 di Kuching

Zamalah Wartawan Malaysia 2018 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) akan berlangsung di Kuching, Sarawak selama dua minggu bermula 3 Dis hingga 14 Dis ini.

Menurut Pengurus Latihan MPI Norhafiza Kamaludin seramai 25 orang wartawan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung akan menyertai Zamalah Wartawan Malaysia 2018 kali ini di Merdeka Palace Hotel & Suites, Kuching.

Program berkenaan dijangka dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abdul Rahman Abang Zohari Tun Abang Openg.

“Para peserta akan didedahkan dengan pelbagai aspek pelaporan berita, kewartawanan siasatan, penulisan rencana, kewartawanan multimedia dan digital, undang-undang media, etika kewartawanan dan memahami fungsi tiga kuasa Negara.

”Selain mendengar ceramah dan menghadiri kuliah, peserta perlu melakukan latihan praktikal, penulisan berita dan rencana serta menghasilkan penerbitan video untuk edisi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norhafiza berkata peserta juga akan membuat lawatan ke tempat-tempat terpilih seperti di Kuching, Batang Ai dan Santubong malah peserta berpeluang berdialog dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Pengarah Unit Ekonomi Sarawak.

“Dalam kunjungan itu, kecekapan para peserta bertanya soalan akan diuji untuk menggali sebanyak mungkin maklumat yang mungkin boleh digunakan untuk menulis berita dan penulisan rencana,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa penceramah akan ditampilkan antaranya Tokoh Undang-Undang Datuk Salleh Buang, Pensyarah Kanan Kewartawanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Madya Dr Jeniri Amir dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Menurut Norhafiza, selain didedahkan kepada ilmu kewartawanan, program Zamalah ini bertujuan untuk memupuk semangat kesetiakawanan yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Ini sesuai dengan maksud zamalah itu sendiri yang asalnya daripada perkataan Arab dan apabila diterjemahkan ke Bahasa Melayu bermaksud persahabatan, pergaulan yang karib, kesetiakawanan dan kebersamaan,” katanya.

— BERNAMA