Malaysia Dateline

‘Zaman PN bukan setakat Oktoberfest, solat Jumaat, majlis tahlil pun tak boleh’

Apabila sudah bersikap taksub, orang yang bergelar profesional pun boleh terjebak berfikir secara tidak rasional.

Itu yang dilihat berlaku pada seorang individu yang bergelar datuk dengan latar belakang profesional dan “pakar berkaitan isu arak” yang menulis:

“Kita masih ingat lagi masa PH (Pakatan Harapan) perintah, Oktoberfest dirayakan, walaupun masa tu YB Shah Alam yang jaga WP (Wilayah Persekutuan).

“Padahal Oktoberfest itu budaya Jerman/Barat, riwayat PH berakhir setakat 22 bulan, Alhamdulillah, sekarang tiada lagi Oktoberfest.”

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Zolkharnain Abidin yang berkongsikan petikan tersebut berpendapat ‘Datuk’ tersebut mungkin terlepas pandang situasi berkaitan kes jangkitan Covid-19.

“Entah profesional itu perasan atau tidak, PN (Perikatan Nasional) jadi kerajaan bulan Mac 2020. Pada 1 Oktober (Oktober pertama kerajaan PN) kes baru 260, 589 kes (15 Oktober) dan 799 kes pada 30 Oktober.

“Takkanlah dalam keadaan kes menaik, Oktoberfest nak disambut pulak. Tak ada sambutan Oktoberfest sebab pandemik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Zolkharnain Abidin

Beliau juga berpendapat penganjuran pesta arak, Oktoberfest itu juga mungkin tidak disambut di Jerman ekoran wabak Covid-19.

“Tak ada kaitan pun dengan PN atau siapa-siapa jadi kerajaan.

“Bahkan, zaman PN perintah, bukan setakat Oktoberfest, solat Jumaat, solat jemaah, talqin di kubur, majlis tahlil kematian pun tak boleh. Hat tu pun nak Alhamdulillah jugak ke?” tempelaknya lagi.

Sehubungan itu, Zolkharnain menganggap hal tersebut tidaklah menghairankan lantaran golongan pentaksub tidak mengenal tahap pendidikan.

“Janganlah pelik jika pentaksub berfikir sebegitu sebab profesional bergelar pun berfikir setaraf pentaksub,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Oktoberfest yang merupakan acara tahunan sejak BN menguasai kerajaan dilihat ‘meletup’ ketika PH menjadi kerajaan pada 2018 sekali gus mengundang kecaman banyak pihak terutama dari Pas.