Malaysia Dateline

‘Zaman Zulkifli apa pun tak nampak, sekarang tunggu apa yang Idris buat’

Semasa Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), banyak perubahan terhadap institusi Islam dilakukan hanya dalam tempoh 22 bulan hayat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional, Ustazah Datuk Jamilah Ibrahim berpendapat berbeza semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiada perubahan signifikan dilakukan oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menduduki jawatan itu.

“Perubahan berani yang Dr Mujahid buat apabila meletakkan Rahmatan Lil Alamin sebagai prinsip dan payung di negara ini.

“Walaupun hanya 22 bulan, dasar Rahmatan Lil Alamin dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Rahmatan Lil Alamin terbuka untuk semua kaum dan agama tanpa sempadan.

“Mahkamah Syariah diperkasakan, membetulkan penyelewengan Tabung Haji. Banyak kejayaan Dr Mujahid

“Tapi, apa pun tak nampak (semasa Dr Zulkifli menjadi Menteri Agama)… 17 bulan, tak nampak satu pun (perubahan),” bidasnya dalam bual bicara, “The Untold Story: 6 Tahun Penubuhan AMANAH” menerusi siaran langsung di Facebook Pemuda Amanah Wilayah dan saluran Orenshow di Youtube.

Sehubungan itu, Ustazah Datuk Jamilah yang juga bekas Ahli Dewan Negara mencabar sejauhmana Idris Ahmad sebagai Menteri Agama dapat melakukan perubahan yang baik kepada institusi Islam.

“Sekarang kita nak tunggu apa yang Idris buat,” katanya lagi yang juga dikenali sebagai Mak Lah.