Malaysia Dateline

Zambry Abdul Kadir jangan jadi ‘yes man’

Menyambung perbahasan mengenai cadangan “billionaire” Desmond Lim Siew Choon merundingkan semula konsesi Lapangan Terbang Subang, saya rasa adalah baik kita mendalamkan kefahaman mengenai pemilik sebenar aset strategik ini iaitu Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

MAHB ini adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pemegang saham utamanya adalah Khazanah Nasional Bhd. Jika dicampur saham yang dipegang oleh KWSP, KWAP dan PNB, lebih 60 peratus saham MAHB adalah untuk kepentingan awam.

Saya difahamkan MAHB ada rancangan sendiri yang dirangka dengan bantuan pakar perunding antarabangsa untuk membangunkan semula Subang Skypark. Semua pemegang taruh (stakeholders) telah dirundingi dan sudah tiga tahun dirujukkan kepada dua Menteri Pengangkutan tapi gagal mendapat persetujuan.

Lagi pun, MAHB ini adalah antara GLC yang kukuh kewangannya walaupun ketika krisis Covid-19 di mana operasi lapangan terjejas dengan teruk. Rizab tunai untuk operasi dalam negara dianggarkan RM900 juta selain kemudahan kredit pusingan RM1.3 bilion dan sukuk (pinjaman Syariah) RM1.8 bilion. Penarafan A3 oleh Moodys ke atas MAHB adalah sama dengan penarafan berdaulat Malaysia.

Jadi apakah alasan tidak meluluskan plan pembangunan semula Subang Skypark oleh MAHB itu? Sebaliknya yang dihebohkan adalah perluasan skop konsesi kepada Desmond Lim dan syarikatnya. Apa sumbangan Desmond Lim sejak dibagi konsesi menguruskan ruang komersial Skypark?

Sepanjang kefahaman saya, Desmond Lim hanya menyewa (sublease) ruang perniagaan di Skypark daripada MAHB. Apakah itu sekadar umpan saja? Perniagaan ini terlalu kecil baginya. Apakah daripada awal lagi matlmat sebenar beliau adalah tanah Skypark seluas 1,100 ekar itu.

Kalau kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad boleh membina Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang yang lebih besar, mengapa kerajaan hari ini tidak boleh membangunkan semula Lapangan Terbang Subang yang turut digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?

Ini bukan isu perkauman tetapi isu kepentingan awam dan keselamatan negara yang melibatkan operasi TUDM. Jadi kita harap Menteri-menteri Melayu-Islam faham implikasi cadangan rundingan semula konsesi Desmond Lim ini dan berusaha pertahankan kepentingan negara dan rakyat jelata. Jangan fikir duit saja.

Harap sahabat saya, Pengerusi lantikan politik MAHB, Zambry Abdul Kadir, tidak berdiam diri apatah lagi menjadi “yes man” kelas MGB!