Zambry, Exco  perlu  ‘turun padang’ lunaskan janji PRU di Daerah Perak Tengah

Zambry, Exco perlu ‘turun padang’ lunaskan janji PRU di Daerah Perak Tengah

Asmuni AwiParti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak menuntut kerajaan negeri mengotakan janji-janji kepada pengundi khusus di Daerah Perak Tengah pada Pilihan Raya Umum yang diadakan sebelum ini.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, banyak projek mega di daerah itu gagal disiapkan dan dibina seperti dijanjikan kerajaan Umno-BN.

“Banyak projek mega telah ‘disuntik’ kepada Daerah Perak Tengah terutamanya Seri Iskandar.

“Apakah kedudukan projek tersebut ketika ini yang mungkin Kepimpinan Kerajaan Negeri Perak ‘terlupa’.

“Antaranya yang dikatakan akan mula dibangunkan pada tahun ini adalah projek Hospital Seri Iskandar yang sebenar ramai lupa bahawa projek ini telah diluluskan pada Februari 2008.

“Satu lagi projek mega adalah tapak Lapangan Terbang seluas kira-kira 1,200 hektar yang dicadangkan oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli Mohamed Ghazali ketika itu dan apa jadi dengan tapak tersebut?,” soal beliau dalam satu kenyataan.

Justeru Amanah Perak berharap Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan dikalangan Exco melakukan aktiviti ‘turun padang’ meninjau dan mengambil tindakan terhadap projek-projek terbengkalai

“Kepimpinan Kerajaan Negeri Perak ini seharusnya tidak bersifat bermusim dan dalam masa yang sama turut menyelesaikan masalah penduduk tempatan serta menunaikan ‘janji-janji’ terutamanya semasa Pilihan Raya Umum sebelum ini,” ujarnya.

Sebagai rekod Hospital Seri Iskandar telah diluluskan pembinaannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Februari 2008 yang mana dilaporkan RM112juta telah diluluskan.

Namun sehingga kini status projek tersebut masih menimbulkan tanda tanya. apak hospital yang dicadangkan itu seluas 12.1 hektar di sini memang diketahui umum namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang tindakan.

Pada 2007 pula Kerajaan Negeri sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah lapangan terbang baru di Seri Iskandar bagi menggantikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Bekas menteri besar ketika itu Datuk Seri Tajol Rosli Mohamed Ghazali dipetik berkata, kerajaan negeri memutuskan bahawa sebuah lapangan terbang baharu perlu dibina bagi menggantikan LTSAS dan tapak seluas kira-kira 1,200 hektar sudah diperuntukkan bagi tujuan itu di Seri Iskandar.

Justeru Asmuni menegaskan, terdapat banyak lagi projek yang dijanjikan di Daerah Perak Tengah tetapi masih lagi tidak dilaksanakan.

“Antaranya Pusat perniagaan ala ‘Nilai 3’ di Seri Iskanda, projek Kinta ‘Lake District’, projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar, projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira di Mukim Bota.

“Selain projek EduCity sebagai hub pendidikan bagi Pembangunan Kolej UCSI dan MMTC di Seri Iskandar,”dedahnya.

Asmuni berkata, rakyat di Daerah Perak Tengah boleh bertanyakan terus status terkini projek-projek tersebut kepada  Menteri Besar.

“Sewajarnya penduduk tempatan Daerah Perak Tengah mengambil peluang Pemukiman Menteri Besar Negeri Perak dan Exco Kerajaan Negeri Perak ke Daerah Perak Tengah kali ini, dapat mengutarakan segala permasalahan penduduk di situ secara terus kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Perak,” ujarnya.

TAGS