Malaysia Dateline

Zamihan desak PM lihat kembali portfolio Waytha Moorthy

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melihat semula portfolio Menteri di Jabatan Perdana MenteriĀ  yang menerajui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kepada Senator P .Waytha Moorthy.

Presiden Aswaja Dr Zamihan Mat Zin turut melahirkan rasa kecewa dan dukacita terhadap kenyataan Wathya Moorthy yang secara jelas menghina Perlembagaan negara serta mencabar kedudukan Islam serta hak istimewa Melayu dan Bumiputera seperti mana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Aswaja menggesa supaya menilai kembali pelantikan Menteri rasis ini dalam Kabinet kerajaan PH.

“Apalah yang boleh diharapkan daripada Menteri rasis ini untuk menjaga perpaduan kaum di negara ini

“Kepada pihak berkuasa undang-undang sepatutnya ditegah kan tanpa mengenal siapa. Puluhan report polis telahpun dibuat. Saya memohon beliau disiasat dan diambil tindakan tegas demi keharmonian negara kaum dan agama di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Dr Zamihan berkata, tindakan Waytha Moorthy mengeluarkan kenyataan yang kononnya masyarakat India di negara ini didiskriminasi adalah satu kenyataan menghasut dan tindakan jahat yang bukan saja memburukkan imej negara, malah boleh menjejaskan Keselamatan dan ketenteraman awam dalam negara.

“Kenyataan itu umpama minyak yang telah sekian lama dicurahkan. Manakala isu ICERD pula umpama api yang cuba dinyalakan untuk menggugat keharmonian kaum atas nama kesamarataan dan menolak diskriminasi kononnya.

“Lebih 60 tahun masyarakat Malaysia hidup aman damai berbilang bangsa dan agama. Islam adalah agama Persekutuan dan hak Melayu, Bumiputera dijamin dalam perlembagaan seperti mana ‘kontrak sosial’ yang telah dipersetuji bersama. Nenek moyang kita terdahulu membina negara dalama susana aman damai tanpa ada rasa iri hati mahupun bersikap rasis.

“Namun hari ini mula ada ‘suara-suara busuk’ cuba menggoncang perpaduan kaum atas nama hak asasi dan menolak diskriminasi. Umat Melayu Islam sudah lama bersabar, bila mana kami bercakap tentang hak yang telah termaktub dianggap rasis.

“Begitu juga kedudukan Islam yang telah dijamin cuba diganggu pihak tertentu dari kalangan bukan Islam khususnya dalam isu RUU355. Kesabaran kami umat Islam ada had dan batasannya, jangan sesekali ‘sentuh’ agama kami dengan sikap rasis anda,” ujarnya.

Dr Zamihan berkata, Aswaja tidak akan berdiam diri bilamana agama dan hak istimewa Melayu Bumiputera cuba dicabar kelompok tertentu.

“Kami akan bangkit dan akan mempertahankan hak seperti mana yang telah dijamin dalam Perlembagaan,”ujarnya.