Malaysia Dateline

Zamri ketawa terkekeh-kekeh akui belasah Mujahid isu transgender

Penceramah, Muhammad Zamri Vinoth dilihat amat gembira dan berulang kali ketawa apabila mengimbas insiden bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dikecam habis-habisan ekoran isu transgender di negara ini.

Reaksi Ketua Pegawai Operasi (COO) One Centre Malaysia itu dapat dilihat dalam rakaman video satu program dialog berdurasi lapan minit yang dimuat naik di Facebook rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Untuk rekod, agensi One Centre Malaysia yang ditubuhkan pada Oktober 2017 dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menjalankan aktiviti dakwah dan pembangunan saudara Muslim​.

“Isu sama transgender ketika kerajaan sebelum ini (Pakatan Harapan), semua orang bengang dan marah terhadap Menteri Agama (Mujahid).

“Saya sendiri pun salah seorang. Saya kena mengakulah,” kata Zamri sambil sungguh-sungguh ketawa.

Sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan PH, Mujahid dilihat diserang berhubung isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) melibatkan aktivis sosial yang juga transgender, Nisha Ayub dan usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat.

Baru-baru ini, Sajat meluahkan hasrat seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Mengulas situasi terkini Sajat itu, Zamri mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak pula berdepan serangan dahsyat seperti dialami Mujahid sebelum ini.

“Tiada orang salahkan Menteri Agama (Zulkifli). Malah, orang semua salahkan Sajat.

“Kalau berlaku ketika kerajaan PH, Menteri Agama mesti kena ‘kaw-kaw’ punya (dikecam habis-habisan).

“Tapi sekarang apabila berlaku isu Sajat tiada orang yang hentam Menteri Agama sekarang ini.

“Alhamdulillah. Beruntungnya Menteri Agama pada masa sekarang ini,” tambah Zamri lagi serentak tertawa sendiri.