Zeti, Abu Kassim enggan ulas dakwaan Pemuda Umno

Zeti, Abu Kassim enggan ulas dakwaan Pemuda Umno

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed enggan mengulas lanjut dakwaan beliau terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bagaimanapun Abu Kassim hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada peguamnya.

“Saya tak boleh komen isu itu malam ini. Saya hanya akan keluarkan kenyataan rasmi esok selepas berjumpa dengan peguam saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM,  semalam lapor Sinar Harian.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap Abu Kassim dan dua inividu lain iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz serta bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Khairul Azwan dalam laporan polisnya mendakwa ketiga-tiga individu berpengaruh itu dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Khairul yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, juga mengesyaki mereka memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Dalam majlis sama, Zeti yang ditemui pemberita juga enggan mengulas lanjut laporan polis itu, sambil menegaskan beliau perlu mendapatkan nasihat guaman terlebih dahulu.

“Saya tidak akan membuat sebarang komen tanpa majlis perundangan saya,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Gani dalam kenyataannya di Bernama menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mencari publisiti murahan.