Malaysia Dateline

Zeti Akhtar

Zeti Aziz perlu jawab tuduhan terima RM100 juta dari 1MDB

Bekas gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Aziz didesak untuk menjawab pendedahan sebuah laman blog yang mendakwa keluarganya pernah menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, termasuk dari 1MDB.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, dakwaan tersebut adalah tuduhan yang sangat serius dan mengancam integriti bank serta institusi kewangan negara.

Katanya, Zeti perlu memberi penjelasan dan membersihkan namanya segera memandangkan ia boleh menimbulkan kesan daripada tuduhan tersebut.

“Patriot telah menyebut sebelumnya dan ingin mengulangi bahawa kami tidak akan bertoleransi terhadap rasuah dalam kalangan pihak berkuasa.

“Seseorang yang bersalah melakukan rasuah, tidak kira seberapa tinggi kedudukan dia, mesti ditangani dengan serius.

“Walaupun blog Malaysia Today bukanlah portal yang bereputasi baik, tapi memandangkan kemungkinan timbulnya kesan daripada tuduhan itu, Zeti tidak boleh berdiam diri. Dia mesti membersihkan namanya dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak menyatakan rasa hairan apabila Zeti mengakui tidak tahu mengenai apa-apa transaksi yang dilakukan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu termasuk dana yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion.

Najib dalam Facebooknya berkata, ketika itu Zeti sendiri yang menasihatinya untuk membuka akaun atas nama sendiri dan bukannya nama parti untuk menerima dana asing tersebut.

“Mana mungkin seorang gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion masuk ke dalam akaun bank atas nama Perdana Menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” kata Najib.

Sementara itu Arshad berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan tidak ada satu bukti pun yang harus dibiarkan.

“Patriot dan orang ramai berminat untuk mengetahui hasil siasatan ini,” katanya.