Zeti mulakan tugas Pengerusi Kumpulan PBN hari ini

Zeti mulakan  tugas Pengerusi Kumpulan PBN hari ini

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara pada 30 Jun lalu.

Beliau yang lengkap mengenakan busana kegemaran baju kurung rona biru gelap dan rantai mutiara, tiba di ibu pejabat PNB di pada 2.55 petang.

Sambil melontarkan senyuman, Zeti sempat berjabat tangan dengan barisan pengurusan kanan PNB sebelum menaiki lif untuk menghadiri mesyuarat bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad serta kumpulan pengurusan kanan yang dijadual jam 3 petang ini.

Zeti bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen kepada kumpulan media sewaktu diiringi ke lif bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Tokoh yang berpengalaman luas dan dihormati dalam dunia korporat dan kewangan, juga merupakan ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejurus kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas.

Majlis yang turut dianggotai oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram, bertanggungjawab membantu pentadbiran kerajaan dalam tempoh 100 hari pertama.

Zeti bersara daripada BNM pada 2016 selepas menerajui bank pusat itu selama 16 tahun yang menyaksikan beliau turut dinobatkan sebagai Gabenor Bank Pusat terbaik dunia oleh Global Finance pada 2009.

Selain itu, beliau turut diberi pengiktirafan menerusi anugerah William ‘Bill’ Seidman bagi Pencapaian Seumur Hidup dalam Industri Perkhidmatan Kewangan untuk 2018 di Sidang Kemuncak Masa Depan Kewangan Asian Banker 2018 di Aman Summer Palace di Beijing, China.

Sementara itu, PNB yang merupakan entiti pelaburan bagi Yayasan Pelaburan Bumiputra, adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan nilai aset di bawah pengurusannya mencecah RM280 bilion.

PNB juga merupakan salah satu daripada enam syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki ratusan syarikat yang tersenarai dan tidak tersenarai seperti dilaporkan Bernama.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote