Malaysia Dateline

Zeti nafi terima wang 1MDB, diam kerana jadi saksi bicara kes Najib

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau yang dikatakan menerima dana 1MDB dan beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak berwajib.

“Isu-isu yang berkaitan dengan 1MDB telah disiasat secara menyeluruh dan teliti oleh pihak berwajib, iaitu BNM, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberikan polis dan SPRM semua maklumat yang diperlukan berkaitan dengan siasatan rasmi mengenai 1MDB dan bekas perdana menteri (Najib Razak),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Zeti menjangkakan akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang sedang berlangsung di mahkamah.

Oleh itu beliau tidak boleh bercakap lebih dari yang sepatutnya.

Bank Negara pimpinan Zeti telah menubuhkan satu pasukan khas bersama Jabatan Peguam Negara dan Polis untuk menyiasat kes 1MDB sebelum Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail dipecat.

“Oleh itu, pada pandangan saya, ia akan mengganggu perbicaraan yang sedang berlangsung dan berpotensi menjadi subjudis bagi saya untuk membuat kenyataan pada masa ini,” katanya.

Zeti sekali lagi menegaskan bahawa dia dan keluarganya tidak pernah menerima sejumlah wang daripada 1MDB.

Kenyataannya itu dibuat selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan juga Patriot meminta Zeti menjelaskan tuduhan terhadapnya dan keluarganya oleh blogger Raja Petra Kamaruddin.

Raja Petra baru-baru ini mendakwa keluarga Zeti menerima dana dari ahli perniagaan Low Taek Jho susulan pengeluaran bon oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), yang merupakan pendahulu 1MDB.

 

PEMIMPIN UMNO TEKAN ZETI

Santai bersama DS Najib sempena kesyukuran ambang tahun baru 2021 di kediaman beliau Pavilion Bukit Bintang, tulis Puad semasa berbincang dengan Najib dan rakan-rakannya.

Selepas dakwaan Raja Petra, pemimpin Umno terus menerus menekan Zeti agar bersuara.

Najib sendiri terus menekan Zeti agar menjawab tuduhan Raja Petra itu.

“Zeti, ini benar ke tidak?. Keluarga kamu dapat banyak duit 1MDB.

“Saya tak sanggup percaya tapi jika tak benar, sila nafi,” tulis Najib dalam facebook beliau sambil mengepilkan dakwaan Raja Petra itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi juga mempertikaikan kenapa Zeti diam dan juga mengaitkan  Tun Dr Mahathir Mohamad juga dengan dakwaan itu.

“Kenapa Tun M “membisu” bila viral dokumen yang membuktikan keluarga Zeti menerima dana yang ada kaitan 1MDB dan Jho Low.

“Itu bukti memang wujud konspirasi “political persecution” yang melibatkan Tun M dan Zeti,” tulis Puad menerusi Facebook beliau.