Zhiddin Aziz kesal diganggu lelaki songsang ketika tunai umrah, tergamak ajak tidur bersama!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz meluahkan rasa kesal dan terkejut apabila diganggu individu berkelakuan songsang ketika berada di tanah suci Mekah.

Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, Zhiddin berkongsi rakaman memaparkan detik cemas dilaluinya apabila didekati oleh individu tidak dikenali ketika berada di lobi hotel.

Zhiddin juga sempat merakamkan perbualannya bersama individu dipercayai berbangsa Arab itu yang mengajaknya naik ke bilik hotel dengan tujuan untuk meluangkan masa berdua.

“Waktu ini saya berada di lobi hotel Makkah, hanya lima minit dari Kaabah. Tetapi perangai orang begini tetap ada. Video ini untuk mengingatkan bahawa walau di mana pun kita berada, dosa itu tetap ada,” katanya di ruangan kapsyen.

Difahamkan, Zhiddin yang juga merupakan anak kepada personaliti televisyen terkenal iaitu Allahyarham Aziz Desa itu berada di lobi hotel tersebut untuk menunggu ibunya pulang.

Individu berkelakuan songsang itu kemudian mendekati secara tiba-tiba dan mulakan perbualan dengan bertanya sekiranya Zhiddin bersendirian di dalam bilik sepanjang berada di Tanah Suci.

Zhiddin yang berada di Tanah Suci untuk mengerjakan umrah itu lalu menjawab bahawa ibunya tinggal bersama dan berada di lobi hotel tersebut untuk menunggu kepulangannya.

Selepas mendengar jawapan dari Zhiddin, lelaki berjubah putih itu mengajak pempengaruh berusia 22 tahun terbabit untuk naik ke bilik hotel supaya mereka dapat meluangkan masa bersama.

Merasa hairan dengan pelawaan individu terbabit, Zhiddin terus memintanya supaya berterus terang sahaja dengan mengatakan kemahuan sebenarnya tanpa berselindung.

Individu berkenaan akhirnya mengakui bahawa dirinya sememangnya bernafsu songsang dan berniat mahu melakukan perbuatan terkutuk itu di bilik hotel bersama Zhiddin.

Zhiddin yang terkejut dengan pengakuan tersebut terus menolak permintaan mengarut individu itu dengan tegas dan meminta agar lelaki terbabit segera beredar daripada situ.

“Kalau itulah awak, simpan sahaja. Saya tak mahu menjadi salah satu daripada anda (berkelakuan sonsang). Tolong tinggalkan saya. Saya tak mahu berada dalam perbualan ini lagi,” kata Zhiddin dengan tegas.

Komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok selepas menonton perkongsian Zhiddin.

Baca juga: Bakal nikahi orang biasa? Ina Naim tak mahu dedah identiti bakal suami