Malaysia Dateline

Ziarah Kasih AMANAH Semop semakin diterima penduduk

Program Ziarah Kasih yang berterusan dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Sarawak terus mendapat perhatian penduduk di kawasan terbabit.

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, keterlibatan penduduk dalam Program Ziarah Kasih di setiap kampung yang dilawati amat menggalakkan.

Katanya, antara pengisian dalam program itu ialah menyampaikan sumbangan berupa makanan asas kepada golongan asnaf, warga emas dan orang kelainan upaya(OKU).

“Malah, kita juga menyampaikan sumbangan berupa keperluan perubatan dan peralatan sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukannya.

“Alhamdulilah, segala yang kita lakukan ini adalah bertujuan untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan sekali gus mampu menyemaikan perasaan kasih sayang antara kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan pada Program Ziarah Kasih di Kampung Penipah, Pulau Bruit, Sibu hari ini.

Selain Kampung Penipah, Fadillah turut menyampaikan sumbangan berupa makanan asas di Betanak, Bruit, Tekajong, Salah Kecil, Penuai dan Penibong.

Untuk rekod, N.42 Semop antara 82 kawasan DUN di Sarawak yang terletak dalam Bahagian Mukah dengan majoriti pengundinya terdiri daripada etnik Melanau.

Fadillah yang juga Ketua AMANAH Kawasan Tanjung Manis menjelaskan, pihaknya akan terus mengadakan program dan aktiviti sedemikian dari semasa ke semasa walaupun hanya berskala kecil.

Ini kerana, menurutnya dalam situasi Sarawak yang masih dibelenggu pandemik Covid-19, gerak kerja terpaksa dilaksanakan secara berperingkat dan berskala kecil.

“Saya bagi pihak AMANAH Kawasan Tanjung Manis merakamkan terima kasih kepada penduduk khususnya di sekitar Pulau Bruit kerana telah memberi sokongan kepada kami untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan ini.

“Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin kampung yang telah membantu dan menerima kehadiran kami semasa melaksanakan program ini,” ujarnya lagi.