Malaysia Dateline

Ziarah kubur dibenarkan di Sarawak, patuhi SOP

Sarawak membenarkan lawatan serta aktiviti menziarahi pusara atau tanah perkuburan di seluruh negeri berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, Majlis Islam Sarawak (MIS) menyarankan agar ahli keluarga dan orang ramai mestilah mematuhi garis panduan yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) selain yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menerusi kenyataan, JAIS telah menggariskan garis panduan aktiviti ziarah pusara semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negeri Sarawak selaras dengan ketetapan semasa MIS.

“Tanah perkuburan akan dibuka untuk lawatan dari jam 7 pagi hingga 5 petang sahaja kecuali untuk kerja pengebumian dan penyelenggaraan sementara tempoh masa lawatan hendaklah tidak lebih daripada 20 minit untuk setiap pusara.

“Malah kehadiran para pelawat turut dihadkan iaitu tidak lebih daripada lima orang ahli waris atau keluarga terdekat manakala orang ramai disarankan membuat penggiliran sekiranya kehadiran melebihi lima orang bagi mengelakkan kesesakan di kawasan perkuburan,” jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, sepanjang aktiviti ziarah, individu yang hadir diminta melakukan kawalan kendiri dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, menggunakan penutup hidung dan mulut, membersihkan tangan dengan pembersih, menjaga kebersihan pusara dan tidak berjabat tangan dengan orang lain semasa lawatan.

“MIS boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat individu yang tidak mematuhi arahan ini yang berkuatkuasa serta merta dan boleh dipinda dari masa ke semasa,” ujar kenyataan itu lagi.